Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Hati-hati, pilihan raya kecil ini beri kesan pada Najib'

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz mengingatkan kepimpinan Umno bahawa dua pilihan raya kecil (PRK) Jun depan bukan medan percubaan.

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata, keputusan itu akan memberi kesan langsung kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Ini bukan masanya untuk kita buat percubaan. Walaupun kita menang dengan majoriti besar di Sarawak yang diketuai (Tan Sri) Adenan Satem, tetapi itu adalah ujian buat beliau.

“Tetapi dalam dua pilihan raya akan datang ini adalah ujian Najib kerana ini kerusi parlimen.

"Apa yang berlaku dalam pilihan raya kecil akan beri kesan kepada Najib. Ini pilihan raya parlimen, semua tentang Najib sebagai perdana menteri dan presiden BN."

"Jadi, kita kena lebih berhati-hati," kata Nazri dalam sidang media selepas lawatan rasmi beliau ke Pasar Seni, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Nazri berkata, BN perlu memperoleh kejayaan besar dalam dua-dua kawasan itu kerana ia mencerminkan penerimaan orang ramai terhadap perdana menteri.

Oleh itu, pemilihan calon-calon tidak yang boleh dipandang ringan.

"Ini bukan masa untuk percubaan sama ada kita boleh meletakkan orang luar sebagai calon. Umno sangat berpengaruh di kawasan luar bandar terutamanya di kalangan orang Melayu yang lebih suka mempunyai seorang wakil yang mereka sudah tahu.

"Calon BN yang bertanding pada pilihan raya umum lepas, daripada anggota parlimen kepada ADUN, semua penduduk tempatan di kawasan masing-masing," kata Nazri.

Beliau mengulas cadangan Umno Kuala Kangsar yang mahu membawa calon luar pada pilihan raya kecil kawasan itu akan datang.

Nazri, anggota Parlimen Padang Renggas, menegaskan keperluan mendengar suara akar umbi dalam pemilihan calon.

“Kita perlu memastikan majoriti kali ini adalah lebih besar daripada yang lalu, terutamanya selepas kejayaan dalam Sarawak," tegas Nazri.

Amatur politik

Sementara itu, mengulas kenyataan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bahawa Pakatan Harapan berdepan “padang tidak sama rata”, Nazri berkata presiden PKR itu "amatur" politik.

Berhubung penggunaan jentera kerajaan pula, beliau mengajukan soalan sama kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali.

"Bolehkah dia memberi jaminan bahawa semasa pilihan raya kecil di Sungai Besar, yang di Selangor, kerajaan negeri tidak akan menggunakan jentera bagi membantu calon mereka?” soalnya.

Lihat Komen
ADS