Seramai 92 pengawal keselamatan bersenjata dan tidak bersenjata termasuk 86 warga asing, ditahan menerusi Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Pematuhan di sekitar ibu negara sejak Rabu lepas dan semalam.
    
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Hamid Mohd Ali berkata mereka ditahan kerana pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen pengenalan diri, positif dadah dan menyalah guna permit.
    
"Hasil pemeriksaan daripada serbuan itu mendapati, warga asing yang ditahan terdiri 60 orang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, dua orang telah tamat visa, seorang menggunakan identiti palsu manakala 23 lagi menyalah guna permit," katanya dalam sidang media di ibunegara hari ini.
    
Abdul Hamid berkata tiga daripada 92 pengawal keselamatan terbabit positif dadah.
    
Beliau berkata operasi bersepadu selama dua hari itu diketuai Cawangan Pelesenan Polis Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Pengurusan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Ketua Polis Balai.
    
Sebanyak 815 pemeriksaan dilakukan di beberapa lokasi termasuk sekolah, pusat beli belah, bank, kedai emas dan kedai pengurup wang, katanya.

- Bernama