Pengarah Pilihan Raya PKR Nurul Izzah Anwar menghargai langkah PAS mengeluarkan arahan melarang pemimpinnya memberi kenyataan berhubung dua pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan bulan depan.

Kata Nurul Izzah perintah larangan itu perlu kerana gabungan parti pembangkang tidak mahu berlaku pertembungan lebih daripada satu lawan satu di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Kami tidak mahu ada persaingan untuk kerusi berkenaan kerana apabila ada perlawanan tiga penjuru, maka kerusi itu (akhirnya) jatuh ke tangan BN,” katanya.

Kenyataan itu dibuat Nurul Izzah ketika menghadiri majlis di Lembah Pantai, Kuala Lumpur hari ini.

Klip video kenyataan itu dimuat naik portal berita FMT.

Dalam pilihan raya Sarawak baru-baru ini berlaku pertembungan sesama parti pembangkang dan di beberapa kerusi memperlihatkan wakil BN sepatutnya boleh dikalahkan jika pihak terlibat berkompromi.

Nurul Izzah yang juga naib presiden PKR berkata beliau yakin pendirian untuk menjadikan PRK bersifat satu lawan satu akan ditekankan dalam mesyuarat Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak lama lagi.

Semalam, PAS mengeluarkan arahan kepada semua pemimpin dan ahlinya supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Sebaliknya kata PAS kenyataan berhubung isu berkenaan hanya boleh dikeluarkan jawatankuasa pusat parti itu.

PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar diadakan ekoran kematian wakil parlimennya, Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar dalam nahas helikopter di Sarawak minggu lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon ialah pada 5 Jun manakala pengundian dijalankan pada 18 Jun.

Sementara itu Nurul Izzah berkata HARAPAN masih berbincang mengenai calon yang akan mewakili pembangkang dalam PRK berkenaan.

“Pendekatan kali ini kita akan ambil secara konsensus, dengan pihak menteri besar (Selangor) sendiri telah mengadakan perbincangan dengan semua pihak, dan tentunya tidak akan ada kompromi terhadap komitmen yang telah dicapai dalam Pakatan Harapan," katanya.