Pergerakan Pemuda Umno telah menyenaraikan beberapa pemimpin muda untuk dipilih oleh kepimpinan parti sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar 18 Jun ini.

Naib Ketua pergerakan itu Khairul Azwan Harun berkata senarai nama calon itu dikemukakan kepada Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang akan menyerahkannya kepada pucuk pimpinan parti.

"Senarai nama itu adalah dari kalangan pemimpin tempatan dan luar," katanya ketika ditemui selepas perjumpaan dengan jentera Pemuda Umno dan BN di Kuala Kangsar semalam.

PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan Anggota Parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Turut terkorban ialah Anggota Parlimen Sungai Besar, Selangor Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

- Bernama