Saman fitnah Najib, Rosmah ke atas MP Taiping selesai
Saman fitnah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor ke atas Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming berjaya diselesaikan di mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Di bawah syarat penyelesaian itu, Nga perlu membuat kenyataan di laman Facebook menzahirkan perasaan kesalnya yang mendalam kerana mendakwa bahawa Rosmah pada Mac tahun lalu telah mempengerusikan mesyuarat kabinet.
Pemimpin DAP itu juga dikehendaki menarik balik kenyataan itu.
Posting itu perlu diterbitkan dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini.
Kenyataan Nga antara lain, perlu berbunyi, "Saya difahamkan bahawa gambar yang dimaksudkan itu diambil di China ketika perdana menteri membuat persiapan untuk pulang ke Malaysia apabila mendapat perkhabaran tentang kemangkatan Sultan Perak, Azlan Shah, dan oleh itu, saya menyatakan perasaan kesal yang amat mendalam kerana gambar itu telah disalah anggap dan dilihat secara di luar konteks.
"Dengan semangat muhibah, saya dengan ini menarik balik komen yang dikaitkan dengan gambar tersebut dan saya berjanji untuk tidak menyiarkannya semula pada masa hadapan."
Kenyataan itu dibacakan oleh peguam Nga, Alex Tan Chie Sian, untuk tujuan merekodkan penghakiman persetujuan.
Tidak ada perintah mengenai kos.
Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili Najib dan Rosmah, berkata susulan kepada kenyataan Nga itu, ank guamnya bersetuju menerima penghakiman persetujuan, yang direkodkan Hakim Siti Khadijah S Hassan Badjenid.

