Penukaran agama tiga anaknya oleh bapa mereka, Mohd Ridhuan Abdullah tanpa kebenaran ibunya, M Indira Gandhi selepas pasangan itu berpisah terus menjadi titik perdebatan.

NGO Islam menekankan anak-anak tersebut seharusnya kekal beragama Islam sementara pelbagai parti politik dan masyarakat sivil menyatakan tentangan dengan menyifatkan penukaran itu salah dari mulanya, terutama tanpa pengetahuan si ibu.

Namun, apa cara Islam untuk menyelesaikan pertikaian ini?

Untuk menjawab persoalan ini, Pengerusi Jihad for Justice Datuk Thasleem Mohamed meninjau nasihat dari pelbagai ulama, termasuk oleh pertubuhan Islam berpengaruh di India, Darul Uloom Deoband dan juga dari Madinah.

Walaupun Ridhuan mempunyai hak untuk memeluk Islam, para ulama yang ditemui Thasleem sebulat suara berkata Ridhuan sepatutnya berbincang mengenai perkara itu dengan Indira terlebih dahulu.

“Beliau pergi dan menukar agamanya dengan tiga anak beliau, termasuk bayi berumur 11 bulan yang masih menyusu badan.

“Ini suatu jenayah yang teruk yang pernah dilakukan oleh seorang ayah, dari perspektif sivil dan ada juga ulama yang memberitahu saya ia tindakan yang tidak Islamik,” kata Thasleem dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Proses penukaran keseluruhan itu, oleh itu, adalah haram, ujarnya.

“Ada yang bertanya kenapa saya kata haram atau kenapa ia tidak sah dari segi undang-undang. Jika ia tidak adil, maka ia haram,” tegasnya.

Dijamin tempat dalam syurga

Namun, Thasleem mengakui bahawa pandangannya itu tidak dikongsi oleh ulama di Malaysia - suatu tindakan yang beliau rasakan sebagai menghairankan kerana orang Islam bertanggung jawab menentang ketidak adilan.

Katanya, beliau telah banyak kali menulis surat kepada pelbagai badan agama tempatan untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas, namun sehingga kini usaha tersebut masih gagal. Satu-satunya yang membalas surat beliau ialah badan antarabangsa seperti Darul Uloom Deoband.

“Jika anda orang Islam dan anda tahu ia bukan cara Islam dan anda memilih untuk tidak bersuara, maknanya anda telah melakukan ketidak adilan yang besar dan ia adalah haram.

“Ia mungkin politik, namun hanya untuk kesesuaian serta kelebihan politik, apakah anda akan korbankan wanita ini dan mencemarkan nama Islam?” tanya Thasleem.

Keputusan untuk tidak memihak kepada Indira, dalam kes ini, mungkin disebabkan kepercayaan bahawa orang Islam dijanjikan tempatnya dalam syurga. Ini mungkin menyebabkan sesetengah pihak memastikan anak-anak dibesarkan dan kekal sebagai orang Islam.

Thasleem berkata, Ridhuan sendiri telah memberitahunya sedemikian untuk mendapatkan bantuan selepas memeluk Islam.

[Baca berita penuh]