MCA: Guan Eng takut singgung umat Islam?
Seorang pemimpin lantang MCA mempersoalkan jika Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng takut menyinggung sesetengah umat Islam berhubung kehadiran sebuah tokong Tao di taman Armenia negeri itu.
Dalam satu kenyataan, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata daripada mempertahankan tokong itu sebagai hak kebebasan agama, Lim memilih untuk mempertahankannya atas alasan ia adalah objek warisan.
"Saya kecewa kerana Lim atas sifatnya sebagai ketua menteri tidak berani berpegang teguh mempertahankan adat ini, kepercayaan dan amalan Cina menyembah ‘semangat’ dan ‘roh’ ini.
"Ketua menteri melakukan ketidak-adilan dan menolak hak kami dengan berkata tokong itu dianggap sebagai objek warisan dan bukan mempertahankannya sebagai hak beragama," katanya.
Pemimpin Jawatankuasa Pusat MCA itu berkata adalah menjadi pengetahuan umum dan amalan yang diterima bahawa mana-mana pengikut yang membina tokong untuk menyembah dan menawarkan korban kepada roh, maka ini dianggap sebagai amalan agama.
"Adakah Lim takut menyinggung sesetengah umat Islam yang menurut (ketua pembangkang negeri) Datuk Jahara (Hamid) ada yang mungkin keliru atas kehadiran tokong itu.
"Penjelasannya adalah satu tindakan pengecut dengan mengorbankan Tao. Daripada berdepan dengan Jahara dengan merujuk kepada hak perlembagaan minoriti, Lim mencari alasan atau jalan tengah untuk memuaskan hati Jahara," katanya.
Ti menuduh ketua menteri itu melarikan diri dariapda tanggungjawabnya walaupun sering menggesa MCA untuk berlawan dan mempertahankan hak-hak tersebut.
"Kebebasan beragama termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 11 memperuntukkan bahawa setiap orang mempunyai hak untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing.
"Apabila ketua menteri menukarkan hak-hak dan kebebasan kita sebagai hanya hak berdasarkan warisan, ini adalah mengejutkan dan pengecut.
"Jika setiausaha agung DAP, yang lantang dan penyokong radikal hak-hak minoriti, gagal dalam kapasitinya sebagai ketua menteri untuk mempertahankan hak-hak minoriti apabila dicabar oleh hanya seorang ADUN Umno, maka saya akan memanggilnya pengecut," katanya.

