Pengeluaran sawit mentah turun 17% tahun ini - FGV
Pengendali perladangan kelapa sawit ketiga terbesar di dunia, Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) menjangkakan hasil pengeluaran minyak sawit mentah menyusut sebanyak 17 peratus tahun ini.
Ketua Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad yang baru dilantik ke jawatan itu berkata, pengurangan dalam output itu adalah disebabkan oleh fenomena El Nino yang melanda negara.
"Harga minyak sawit mentah akan berlegar-legar pada RM2,600 (AS$644.50) hingga RM2,800 setiap satu tan pada bulan Ogos ini.
"Hari ini, ia pada tahap RM2,566 setiap tan," jelasnya pada majlis taklimat media, memetik Reuters.
Terdahulu, FGV yang tersenarai di Bursa Malaysia pada 2012 dan mencatatkan kejayaan tersendiri apabila menjadi penyenaraian kedua terbesar di dunia selepas Facebook mengumumkan untuk menerokai peluang perniagaan lain.
Antaranya dalam industri perkhidmatan logistik aero-angkasa dan penerbangan dalam usahanya untuk mencapai pertumbuhan perniagaan yang mampan.
Perancangan itu adalah sejajar dengan misi serta matlamat syarikat untuk mempelbagaikan cabang bidang perniagaan pada masa depan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap perniagaan komoditi semata-mata.
Buat masa ini, aktiviti perladangan komoditi milik FGV itu melibatkan lebih 100,000 peneroka di seluruh negara.

