Majlis Syura luluskan nama calon 2 PRK - Hadi
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, nama-nama calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar telah diluluskan oleh Majlis Syura.
Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata, nama-nama calon bagi dua kerusi parlimen itu akan diberitahu kemudian.
"Nama-nama sudah diluluskan Majlis Syura. (Nama) akan diberitahu kemudian," katanya ketika ditemui pemberita, di Parlimen, hari ini.
Ditanya sama ada PAS berharap agar Pakatan Harapan tidak meletakkan calon mereka pada pilihan raya kecil Jun depan, Abdul Hadi berkata, perkara itu terpulang kepada parti masing-masing.
"Kita tak boleh paksa. Itu terpulang pada mereka sendiri," ujarnya.
Ketika ditanya sama ada PAS akan tetap bertanding sekiranya Parti Amanah Negara (AMANAH) atau PKR meletakkan calon mereka, Hadi hanya berkata:
"Kalau kita bertanding, PAS tak rugi. Sama ada menang atau kalah. Kalau menang, untung...kalau kalah, balik modal. BN kalau kalah, rugi. Kalau menang, balik modal.
"Parti lain boleh mengadu nasib," katanya tanpa menghuraikan lebih lanjut tentang perkara itu.
Selain itu, ditanya sama ada PAS mengharapkan kerusi Parlimen Sungai Besar melibatkan pertandingan dua penjuru sahaja, anggota parlimen Marang itu hanya berkata:
"Wallahu'alam. Tak tahu dan kita ada akar umbi yang kuat sekian lama di situ," katanya.
Pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar diadakan selepas bekas anggota parlimen Sungai Besar yang juga timbalan menteri perusahaan perladangan dan komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan anggota parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak.
PAS berpotensi berdepan serpihannya- AMANAH di Sungai Besar dan Kuala Kangsar – kawasan campuran dengan majoriti Melayu.
Kedua-dua kerusi itu secara tradisinya ditandingi PAS.

