Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengulangi kenyataannya bahawa apa yang berlaku antara pasukannya dan Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim hanyalah salah faham.

“Kalau saya salah faham tu, memang silap faham, tidak ada lebih dari itu.“Memang semua orang nak dengar ulasan-ulasan itu, jadi tak perlulah, kerana ke bawah duli tidak ada buat apa-apa komen selepas saya bercakap dan bahawa ia sedikit silap faham,” katanya.

Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai punca sebenar salah faham itu selepas TMJ mendakwa beliau dan sultan Johor dipantau oleh polis Cawangan Khas.

Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Oleh Pengerusi DRB-HICOM untuk penajaan pendingin hawa di Surau Maktab PDRM Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Khalid sebelum ini telah mengadap Tunku Ismail di Istana Bukit Pelangi susulan dakwaan Tunku Ismail di Facebook.

Tunku Ismail antaranya berkata tidak faham mengapa polis "perlukan fail" mengenai beliau dan ayahandanya.