Wanita rugi RM2 juta kerana tipu daya cinta di Internet
Penipuan cinta di Internet kini melibatkan angka jutaan ringgit. Terbaru, seorang wanita dikesan menjadi mangsanya.
Bagaimanapun, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, mungkin kerana malu, wanita itu tidak tampil membuat laporan polis.
“Yang terbaru ada seorang wanita terpedaya dengan jumlah yang besar sebanyak RM2juta. Kami tahu dan kami sedang mengesan dia untuk membuat laporan polis.
“Mungkin dia malu, kita tak boleh biarkan perkara ini berlaku. Saya harap wanita ini tampil bantu kita siasat mereka yang bertanggungjawab ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Oleh Pengerusi DRB-HICOM untuk penajaan pendingin hawa di Surau Maktab PDRM Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Khalid berkata, bukan hanya wanita yang menjadi mangsa penipuan warga Afrika Barat khususnya warga Nigeria tetapi, lelaki juga menjadi mangsa.
“Lelaki juga jadi mangsa, tetapi lelaki tak mahu buat laporan polis. Saya ingin nasihatkan, jangan cepat terpedaya dengan pujuk gadis manis melalui Internet, kerana anda mungkin mangsa romance scam (penipuan romantis),” katanya.
Khalid bagaimanapun berkata, tiada pasukan khas diwujudkan bagi menyiasat perkara ini kerana Unit Jabatan Siasatan Jenayah Komersial sudah memadai.

