Belum masa BNM turunkan kadar faedah - ForexTime
Jangkaan dan saranan supaya Bank Negara Malaysia mengurangkan kadar faedah bagi merangsang pelaburan swasta mungkin terlalu awal, selagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2016 kekal berada di atas 4.0 peratus, kata Ketua Penganalisis Pasaran di ForexTime, Jameel Ahmad.
Beliau berkata ketika pertumbuhan keseluruhan dijangka kekal didominasi pertumbuhan KDNK, yang mencatat kadar paling perlahan dalam tempoh enam tahun pada 4.2 peratus semasa suku pertama 2016, sesuatu yang penting untuk diberi perhatian bahawa banyak unjuran pertumbuhan KDNK adalah antara 4.0 dan 4.1 peratus.
"Bagaimanapun, angka yang sebenar adalah lebih tinggi daripada banyak unjuran yang dibuat," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata Malaysia adalah seperti ekonomi lain yang perlu terus memantau risiko luaran yang berkemungkinan.
"Ekonomi global secara keseluruhannya mengalami tempoh pertumbuhan lemah dan kita telah menyaksikan banyak unjuran pertumbuhan global bagi 2016 adalah rendah setelah disemak semula di beberapa institusi utama," katanya.
Permintaan eksport menurun sedikit dan laporan KDNK turut menunjukkan momentum eksport tidak memberangsangkan, katanya.
"Pertumbuhan global yang lemah mungkin menandakan risiko kepada ekonomi Malaysia dan perkara ini perlu dipantau dengan teliti memandangkan kita menuju ke separuh kedua 2016," katanya.
Sementara itu, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd, ia mengekalkan prospek KDNK 2016 pada 4.4 peratus dengan wujudnya risiko ke bawah.
"Kami berpendapat ekonomi Malaysia keseluruhannya mencapai prestasi yang agak baik pada suku pertama 2016 dalam keadaan kelembapan ekonomi global dan perdagangan dunia menyederhana.
"Kami mengunjurkan pertumbuhan suku akan datang masih pada 4.2 peratus dan setahun yang penuh pada 4.4 peratus," menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
- Bernama

