Bekas Pengerusi BERSIH, Datuk Ambiga Sreenevasan menggesa mana-mana pihak yang mempunyai cadangan bagi menyelamatkan negara yang sedang dilanda krisis, untuk tampil memberi cadangan.

Bagaimanapun katanya, buat masa ini Deklarasi Rakyat adalah sebahagian jalan untuk menyelamatkan negara yang sedang dilanda krisis.

“Kita boleh untuk bersetuju dan tidak setuju atau kita tidak langsung buat apa-apa tindakan (untuk selamatkan negara) kerana kita ada pilihan.

“Saya tak kata kita (buat Deklarasi Rakyat yang) sempurna tapi kita lakukan sesuatu ketika negara dalam krisis, apakah cadangan anda untuk selamatkan negara dan kita nak tahu apa rancangan anda semua? Kalau anda ada, jadi buatlah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Forum 'Deklarasi: Mana Pergi Rakyat' di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) malam tadi.

Forum itu menampilkan Ambiga, bekas timbalan ketua Umno Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad sebagai pihak yang menyokong Deklarasi Rakyat.

Manakala pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, bekas setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan dan peguam Haris Ibrahim sebagai pihak yang menentang.

Ambiga berkata demikian sebagai mengulas soalan yang diajukan oleh Arutchelvan mengapa Deklarasi Rakyat dibuat secara terburu-buru.

Mengulas lanjut, Ambiga mengakui ia dibuat dalam masa yang terburu-buru namun katanya, di pihak NGO, beliau telah menilai isi kandungan Deklarasi Rakyat itu terlebih dahulu sebelum bersetuju untuk ikut serta.

“Saya setuju ia memang terburu-buru dibuat, ia saya setuju. Kami di NGO hanya tahu empat hari iaitu pada 4 Mac, ketika Deklarasi Rakyat dicadangkan.

“Saya dan Maria Chin Abdullah telah buat 'consultation' yang banyak pada ketika itu,” katanya.

Forum lebih dua jam itu panas dengan hujah-hujah dari pihak yang digelar di pihak ‘Pro-reformasi' yang menggelarkan Deklarasi Rakyat itu sebagai ‘Deklarasi Individu’ kerana ia dibuat oleh bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun bekas timbalan ketua Umno bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan menyelar kenyataan dari pihak ‘Pro-reformasi' dan sebaliknya berkata, Deklarasi Rakyat itu dibuat bersandarkan pandangan dari pelbagai pihak.

“Sebelum kita buat Deklarasi Rakyat ini, kita panggil semua pihak, tunjuk kepada semua pihak untuk bagi pandangan dan beri final draf Deklarasi Rakyat.

“Ini bukan gerak kerja Tun Mahathir, saya bukan nak bela Tun Mahathir tapi saya nak cakap perkara yang benar.

“Kalau ada cadangan, nyatakan dan saya akan sampaikan pada Tun Mahathir,” katanya.

Jumaat lalu, Tun Dr Mahathir mengesahkan bahawa lebih 1.27 juta tandatangan menuntut pengunduran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah berjaya dikumpulkan di seluruh negara.

Mahathir juga akan menyerahkan sendiri dokumen Deklarasi Rakyat itu kepada Yang di-Pertuan Agong dan sedang mendapatkan perkenan untuk mengadap.