Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khairuddin: Bukan saya penulis dan penerbit buku '50 dalil'

Bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Khairuddin Abu Hassan berkata beliau tidak terlibat sama sekali dalam penerbitan buku '50 dalil mengapa Anwar tidak boleh jadi perdana menteri'.

Kerana itu, katanya, mantan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah mengambil sebarang tindakan ke atasnya berhubung buku tersebut.

“Bukan saya penulis dan penerbit buku itu.

“Tengok siapa penerbit dan penulis buku itu, sehingga ke hari ini Datuk Seri Anwar Ibrahim tak pernah ambil apa-apa tindakan ke atas diri saya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Forum 'Deklarasi: Mana Pergi Rakyat' di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) malam tadi.

Forum itu menampilkan Kharuddin, bekas pengerusi BERSIH, Datuk S Ambiga dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad sebagai pihak yang menyokong Deklarasi Rakyat.

Manakala pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, bekas setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan dan peguam Haris Ibrahim sebagai pihak yang menentang.

Sebelum itu, dalam forum tersebut Chegubard mendakwa bahawa Khairuddin merupakan salah seorang penulis buku itu.

Bagaimanapun, Badrul yang juga dikenali sebagai Chegubard membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Khairudin selepas mendengar hujah dari bekas pemimpin Umno itu.

Sementara itu, Khairuddin berkata, beliau akan menjadi orang pertama yang akan menyokong sekiranya ada gerakan yang menggerakkan pembebasan Anwar.

“Saya akui kalau ada perjuangan nak keluarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Penjara Sungai Buloh, saya orang pertama yang akan sokong perjuangan ini,” tegasnya kepada 300 orang hadirin yang hadir.

Lihat Komen
ADS