Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR) menggesa kerajaan Malaysia membebaskan 13 pelarian Indonesia dan Burma yang ditahan dalam 'Ops Tegas' serta menafikan pihaknya mengeluarkan sewenang-wenangnya dokumen kepada orang pelarian.
Ketua UNHCR di Malaysia, Volker Turk, memberitahu AFP, 13 pelarian terbabit 10 dari Aceh dan tiga Rohingya dari Burma kini ditahan di pusat tahanan di Semenyih.
"Mereka adalah pemegang kad UNHCR. Saya tidak tahu mengapa mereka ditahan. Mereka mesti dibebaskan. Saya telahpun memaklumkan kepada Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri, Datuk Azmi Khalid supaya jangan menghantar mereka pulang," katanya.
Malaysia melancarkan 'Ops Tegas' mulai 1 Mac lalu untuk menangkap, merotan dan menghantar pulang beratus ribu pendatang tanpa izin, sebahagian besarnya rakyat Indonesia, selepas tamat tempoh pengampunan pada 28 Februari lalu.
Manakala Azmi pula dilaporkan berkata, pendatang tanpa izin dari Aceh tidak ditangkap atas sebab-sebab perikemanusian, tetapi mendakwa UNHCR telah mengeluarkan surat kepada rakyat Aceh sewenang-wenangnya.
"Semua surat yang dikeluarkan oleh UNHCR tidak boleh diterima sebagai tulen. Ada maklumat bahawa sesetengahnya tidak tulen," kata Azmi sepertimana yang dilaporkan oleh akhbar The News Straits Times .
Proses ketat
Turk bagaimanapun berkata, setiap pencari suaka dimestikan melalui wawancara yang ketat dengan pegawai-pegawai PBB.
"Kami menafikan dakwaan tersebut. Kami mempunyai proses yang ketat ketika mengeluarkan dokumen kepada mereka. Ia adalah satu proses yang kompleks. Kita tidak mengeluarkan surat itu sewenang-wenangnya," tambahnya.
Bagaimanapun, Turk mengaku terdapat dokumen UNHCR palsu dan meminta pihak penguatkuasa yang melancarkan 'Ops Tegas' supaya menghubungi pihaknya untuk pengesahan.
Manakala beribu-ribu pekerja yang mahu kembali bekerja di Malaysia, terkandas kerana kelewatan dalam urusan pentadbiran di republik itu sehingga menjejaskan sektor pembinaan dan ladang kelapa sawit, yang bergantung kepada pekerja asing.
Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Fong Chan Onn, sektor perladangan kekurangan 300,000 pekerja dan kira-kira 200,000 pekerja lagi bagi sektor pembinaan.
Sementara itu, Bernama melaporkan, Duta Besar Indonesia ke Malaysia Drs KPH Rusdihardjo berkata beliau sendiri akan mencadangkan agar kerajaannya mengurangkan bayaran ke atas rakyat negara itu yang ingin bekerja di Malaysia secara sah.
Terlalu mahal
Katanya, bayaran RM900 bagi rakyat Indonesia yang pernah bekerja di Malaysia secara haram tetapi ingin kembali untuk bekerja secara sah, perlu dikurangkan kepada ke jumlah yang munasabah.
"Saya juga akan mencadangkan supaya kelonggaran diberi kepada pekerja Indonesia yang sudah lama bekerja di Malaysia untuk tidak menghadiri kursus induksi yang diwajibkan kepada semua warga Indonesia yang ingin bertugas di Malaysia," katanya.
Rusdihardjo berkata masalah pentadbiran yang berlaku berpunca daripada tindakan kerajaan Indonesia memperketatkan lagi prosedur untuk mengelak warganya menggunakan identiti palsu untuk bekerja di Malaysia.
Mengenai Ops Tegas yang bertujuan menahan pendatang tanpa asing izin yang masih berada di Malaysia, Rusdihardjo berkata setakat ini tiada laporan pelanggaran hak asasi manusia dilaporkan.
"Saya sendiri sudah melihat beberapa kem (penahanan pendatang tanpa izin)... cukup bagus, malah jauh lebih bagus dari 2000 dan 2003," katanya merujuk kepada operasi menahan pendatang tanpa izin sebelum ini.
