Apakah kerajaan Indonesia telah mengambil pentadbiran salah sebuah universiti berprestij di Malaysia? Kalau berdasarkan kepada lamanweb Universiti Sains Malaysia (USM), nampaknya begitulah.

Hakikatnya ialah kandungan lamanweb USM di Pulau Pinang telah digodam dan seorang pakar IT mendakwa ianya berlaku sejak lebih dua minggu yang lalu.

Lamanweb tersebut, yang mengandungi maklumat mengenai universiti tersebut dan pengajian yang ditawarkan, mempunyai halaman yang mengebarkan bendera Indonesia, gambar presiden pertama Indonesia, Sukarno dan kata-kata yang mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Penggodam yang menggunakan nama 'Ndowed', mengkritik Perdana Menteri berhubung cara kerajaan mengendalikan kes-kes pendatang tanpa izin (PATI) Indonesia.

Tulisan dalam Bahasa Indonesia di bawah tajuk 'Gerakan Ganyang Malaysia', penggodam tersebut, antara lain lain berkata Abdullah "bersikap seperti anak-anak yang merampas milik orang lain".

Malaysia telah melancarkan 'Ops Tegas' mulai 1 Mac lalu untuk menahan pendatang tanpa izin selepas tamat tempoh pengampunan pada 28 Februari lalu. Mereka yang ditahan menghadapi hukuman termasuk dirotan.

Perbuatan orang dalam?

Seorang rakyat Malaysia yang tinggal di republik itu lebih 15 tahun, berkata penggodam terbabit menggunakan 'bahasa Jawa rojak".

Sementara itu, seorang pakar IT yang dihubungi malaysiakini berkata terdapat kemungkinan perbuatan menukar kandungan lamanweb itu dilakukan oleh orang dalam USM sendiri.

"Saya rasa kandungan lamanweb itu diubah di antara 14 dan 15 Februari lalu," katanya sambil bertanya, jika benar begitu, mengapa kandungan lamanweb itu tidak diperbetulkan sehingga hari ini.

Bagaimanapun, kandungan tersebut telah dibuang dari halaman terbabit apabila malaysiakini melayarinya semula pada jam 6 petang ini.

Manakala kakitangan IT di USM tidak ada ketika dihubungi untuk mendapatkan penjelasan mengenai kejadian tersebut.