Tian Chua guna Internet hasut sertai demo: KDN
Naib Presiden Parti Keadilan Nasional Tian Chua dituduh menggunakan Internet dan risalah bagi menghasut orang ramai menyertai perhimpunan di seluruh negara, termasuk di Kuala Lumpur pada 14 April lalu.
Naib Presiden Parti Keadilan Nasional Tian Chua dituduh menggunakan Internet dan risalah bagi menghasut orang ramai menyertai perhimpunan di seluruh negara, termasuk di Kuala Lumpur pada 14 April lalu.
Dalam enam alasan yang disertakan bersama perintah tahanan selama dua tahun di kem Kamunting bermula awal bulan ini, Tian juga dituduh "bergiat cergas sebagai perancang utama yang menganjurkan demonstrasi."
"Perancangan tersebut sekiranya tidak dibendung dan dikawal boleh mengancam ketenteraman awam dan memudaratkan keselamatan negara," kertas alasan itu dipetik.
Selain beliau, tiga lagi pemimpin parti itu dan aktivis reformasi ditahan selama dua tahun di kem itu selepas tamat soal siasat di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua bulan. Mereka adalah Ketua Pemuda Mohamad Ezam Mohd Nor, ahli jawatankuasa pusat parti itu Saari Sungib dan penulis malaysiakini Hishamuddin Rais.
Perintah tahanan, yang disokong alasan-alasan itu, ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Baadwi pada 2 Jun lalu.
Tian juga dituduh "membuat persediaan untuk bertindak balas secara fizikal dan mental sekiranya berlaku pertembungan dengan pasukan polis."
Beliau didakwa merancang menggunakan Internet dan risalah dalam beberapa pertemuan yang dihadiri lebih kurang 10 hingga 30 aktivis di Bangsar, Kuala Lumpur dan Dewan Perhimpunan Cina Selangor.
'Jenayah' kami direka
Aktivis reformasi itu didakwa mengadakan enam perjumpaan sulit, antara lain untuk tujuan itu, antara 21 Februari hingga 27 Mac lalu.
Tian juga didakwa mengadakan pertemuan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Kuala Lumpur pada 6 Februari lalu bersama lapan orang anasir reformasi dan di Kelab Darul Ehsan, Selangor dengan sembilan anasir reformasi pada 27 Februari.
Tian bagaimanapun menafikan pertuduhan-pertuduhan tersebut.
"Seperti tertera pada kertas alasan-alasan itu, 'jenayah' kami direka tanpa bukti yang khusus atau terperinci. Apa sahaja yang kami terangkan ketika siasatan tidak penting. Hukuman kami telah ditentukan sebelum siasatan terhadap kami tamat," kata Tian dalam [#1] satu nota [/#] yang ditulis dari Kamunting.
Dalam operasi tangkapan ISA baru-baru ini, 10 aktivis reformasi ditahan dengan dakwaan cuba menggulingkan kerajaan menggunakan "cara-cara militan". Empat orang telah dibebaskan, termasuk dua melalui perintah mahkamah, sementara dua lagi masih dalam siasatan.
Ahli majlis tertinggi Keadilan Dr Badrul Amin Bahron dan aktivis Pemuda Lokman Noor Adam, masing-masing ditahan 20 dan 24 April, masih menunggu perbicaraan bagi permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis ini.
Sementara itu, keluarga Badrul dan Lokman sehingga kini masih belum menerima sebarang perkembangan terbaru dua aktivis itu.
Isteri Lokman, Noor Farahin Ahmad memberitahu malaysiakini hari ini, kali terakhir beliau bertemu suaminya pada 7 Jun lalu. Aktivis itu membayangkan akan dibawa ke kem tahanan lanjutan selama dua tahun seperti empat rakannya yang lain.
Persendaan undang-undang
Manakala lawatan terakhir keluarga Badrul pada 28 Mei lalu.
Dalam nota yang sama, Tian juga mendakwa Menteri Dalam Negeri menandatangani perintah tahanannya dan tiga rakannya "dalam keadaan tergesa-gesa" pada 2 Jun, hari kelepasan am.
Tian berkata lembaga penasihat untuk mengkaji semula penahanan seseorang di Kamunting agar boleh dibebaskan lebih awal sebagai "mempersenda-sendakan" undang-undang.
"Saya tidak fikir rayuan kami kepada lembaga penasihat itu akan menghasilkan apa-apa kesan positif," notanya itu dipetik.
Menurut seksyen 13 (1) akta itu, seseorang tahanan boleh merayu kepada lembaga itu sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh enam bulan.
Antara lain, Tian juga dituduh bertemu lapan anasir reformasi bagi membincangkan rancangan untuk mengadakan demostrasi di sekitar kawasan Mahkamah Tingi Kuala Lumpur pada 4 Ogos lalu, hari yang asalnya dijadualkan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman kes liwat.
Pada 1 Oktober tahun lalu di Setapak, Tian didakwa bersama sembilan anasir reformasi merancang 'Perhimpunan 100,000 Rakyat' yang menyebabkan terjadi "keganasan dan rusuhan" di plaza tol ke Jalan Kebun, Klang dari Lebuhraya Kesas bulan berikutnya.
Perintah tahanan itu juga menyebutkan Naib Presiden Keadilan itu salah seorang perancang untuk mengambil tindakan "bercorak kekerasan dan agresif" dengan menahan lebih kurang 20 bas semasa pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas, Kedah pada November lalu.

