Badan Pencegah Rasuah (BPR) sedang menyiasat pemberian kontrak bernilai RM4 juta pada tahun 2001 oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kepada sebuah syarikat untuk menjalankan kajian penilaian semula cukai taksiran bagi premis di tanah besar Pulau Pinang.

Difahamkan, BPR telah menemui Yang Dipertua MPSP sekarang dan yang sebelumya, pengerusi jawatankuasa cukai taksiran dan pegawai-pegawai di jabatan berkenaan.

Menurut jurucakap BPR negeri, siasatan itu dijangka siap tidak lama lagi, tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya.

BPR memulakan siasatannya selepas menerima aduan daripada DAP Pulau Pinang berhubung pemberian kontrak tersebut.

Dalam aduannya, DAP mengesyaki 'ada yang tidak kena' berhubung pemberian kontrak itu, serta mempertikaikan mengapa ia diswastakan sedangkan MPSP boleh melakukannya sendiri.

Bagaimanapun, seorang pegawai MPSP yang tidak mahu namanya disebut, berkata majlis itu tidak mempunyai tenaga kerja yang mencukupi untuk menyiapkan tugasan tersebut.

Menurut kontrak itu, syarikat terbabit akan menilai semula cukai taksiran bagi semua premis yang sah di tanah besar. Ia juga ditugaskan untuk memasukkan semua data ke dalam komputer bagi membolehkan MPSP mengesan, menyemak dan menyediakan maklumat terperinci mengenai semua premis yang ada.

"Tugas itu akan membantu kami melaksanakan kadar baru cukai taksiran, mengkomputerkan operasinya dan menyediakan maklumat yang betul kepada orang awam.

"Dan pihak majlis tidak mempunyai tenaga kerja untuk melakukan tugas tersebut," tegas pegawai berkenaan.

Tidak logik dan praktikal

Bagaimanapun, Setiausaha DAP Pulau Pinang, Danny Law Heng Kiang tidak bersetuju.

Menurutnya, adalah tidak logik dan praktikal serta membazirkan wang rakyat untuk menswastakan projek itu, sedang pihak berkuasa tempatan lain tidak berbuat demikian.

"Majlis Perbandaran Pulau Pinang juga telah menilai semula hartanah di pulau itu dengan menggunakan tenaga kerjanya sendiri. Habis, Mengapa MPSP pula berbeza?" tegasnya.

Sejak beberapa tahun yang lalu, katanya, penilaian dilakukan dengan membahagikannya ke dalam beberapa zon, dan menganggarkan kadar sewa semasa bagi hartanah di kawasan berkenaan.

Selain maklumat tersebut, data-data mengenai hartanah itu juga dimasukkan ke dalam komputer sejak beberapa tahun yang lalu. Majlis itu hanya perlu mengemaskinikannya setiap tahun.

"Mengapa kita memerlukan kontrak bernilai RM4 juta untuk melakukan tugasan itu? Maka tidak gunalah majlis ini mempunyai jabatan cukai taksiran bersama pegawai dan kakitangannya.

"Kami berharap hasil siasatan BPR itu nanti akan menjawab semua soalan kami itu," katanya.


ATHI VEERANGGAN adalah wartawan sambilan malaysiakini di Pulau Pinang.