Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kerajaan tak boleh sesuka hati sekat orang ke luar negara'
Diterbitkan:  May 18, 2016 7:00 PM
Dikemaskini: 11:08 AM

Kerajaan tidak boleh sesuka hati menyekat seseorang yang mahu ke luar negara kerana ia bertentangan dengan perlembagaan, kata ahli Majlis Peguam Syahredzan Johan.

Katanya, hak rakyat untuk keluar negara dijamin perkara 5 perlembagaan, melainkan ada satu undang-undang bertulis melarang mereka berbuat demikian.

"Untuk menyekat seseorang rakyat Malaysia daripada mengamalkan haknya di bawah Perkara 5, ia perlu menurut suatu undang-undang bertulis yang khusus.

"Contohnya, di bawah undang-undang, kerajaan boleh menyekat seseorang yang tidak membayar semula pinjaman PTPTN. Ini diperuntukan secara khusus.

"Kerajaan tidak ada suatu kuasa am yang diperuntukan bawah undang-undang untuk menyekat seseorang itu keluar negara mengikut suka hati mereka," katanya pada kenyataan media.

Beliau berkata, sebarang sekatan harus dibuat mengikut undang-undang dan bukannya dengan cara 'tepuk dada, tanya selera'.

"Persoalannya, mengikut undang-undang apa Jabatan Imigresen menghalang seseorang itu keluar negara kerana 'memburukkan Kerajaan'?

"Apa-apa sekatan yang dibuat tanpa berlandaskan undang-undang adalah salah di sisi undang-undang dan tidak mengikut perlembagaan," katanya.

Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah pada 15 Mei lalu tidak dibenarkan meninggalkan negara ini untuk ke Korea Selatan bagi menerima Anugerah Hak Asasi Manusia Gwangju.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyifatkan sekatan ke luar negara terhadap pengkritik kerajaan sebagai kejam dan keterlaluan.

Katanya, peraturan baru itu menunjukkan tahap kediktatoran Malaysia semakin teruk dan menuju ke arah negara polis.

Lihat Komen
ADS