UTM: Tinggal dalam kampus untuk tangani gejala sosial pelajar
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mewajibkan semua pelajarnya tinggal dalam kampus mulai Julai ini bagi mencegah gejala keruntuhan akhlak seperti perbuatan pelajar lelaki dan perempuan tinggal serumah, terbabit dalam kes samseng dan penyalahgunaan dadah.
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mewajibkan semua pelajarnya tinggal dalam kampus mulai Julai ini bagi mencegah gejala keruntuhan akhlak seperti perbuatan pelajar lelaki dan perempuan tinggal serumah, terbabit dalam kes samseng dan penyalahgunaan dadah.
Timbalan Naib Canselor UTM, Prof Dr Alias Mohd Noor berkata, tujuan utama UTM menguatkuasakan peraturan itu ialah untuk membanteras gejala sosial, mencegah kejadian yang tidak diingin serta meningkatkan integrasi antara pelajar berbilang kaum.
Menurutnya, pelajar Melayu yang tinggal di luar kampus didapati terpengaruh dengan dadah serta gemar melepak, manakala majoriti pelajar lelaki dan perempuan dari kaum Cina tinggal serumah. Pelajar India pula terbabit dengan gejala samseng.
Alias yang bertanggungjawab terhadap Hal-Ehwal Pelajar, mendakwa masalah tersebut sudah sampai ke tahap yang serius dan memerlukan tindakan segera untuk membanterasnya.
Ditanya mengenai perangkaan bagi perkara tersebut, beliau berkata, sepanjang tempoh lima tahun lalu, pihak universiti telah mencatatkan lima kes mengancam pelajar.
"Kami merasa lebih selesa bila kesemua pelajar tinggal di dalam kampus. Kami mempunyai warden, klinik dan kemudahan yang baik di sini," katanya sambil menambah, langkah tersebut juga akan meningkatkan integrasi kaum di universiti itu.
Alias juga menafikan dakwaan pelajar bahawa motif sebenar peraturan baru itu dikuatkuasakan ialah kerana pihak universiti memerlukan dana bagi menampung pembinaan 10 kolej kediaman baru, sebagai tambahan kepada tujuh yang sedia ada.
Bagaimanapun, beliau mengakui, kadar sewa, daripada RM105 hingga RM165 sebulan, akan membantu menampung kos penyelenggaraan yang tinggi. Pada masa ini, kira-kira 4,000 pelajar tinggal dalam kampus.
Menurutnya, kolej kediaman baru itu berharga RM16 juta tetapi beliau enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai jumlah pinjaman daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tujuan tersebut.
Mengikut surat pekeliling yang dikeluarkan oleh Alias bulan lalu, daripada sejumlah 17 kolej kediaman yang ada, 21 blok dinamakan sebagai "Blok KWSP".
Dialog mengecewakan
Mengenai dakwaan pelajar bahawa lebih murah untuk menyewa bilik atau rumah di luar kampus, Alias berkata, bekalan elektik dan air dibekalkan secara percuma di kampus.
Mengenai gantirugi bagi perabot dan peralatan elektrik serta kemudahan internet pelajar tidak boleh bawa ke bilik asrama di Kampus, beliau berkata, mereka hendaklah menulis kepada pihak pentadbiran universiti untuk menyatakan bantahan mereka.
"Pihak universiti akan menghargai harta benda mereka dan menentukan jumlah pampasannya. Para pelajar yang secara sukarela mahu tinggal di asrama tidak layak menerima pampasan,' katanya, sambil menambah jumlah tertentu sudah ditetapkan untuk membayar pampasan.
Alias juga menolak anggaran yang dibuat oleh pelajar terbabit bahawa mereka akan menanggung kerugian sekitar RM3 juta.
"Rumah saya, sebuah banglo, mempunyai segala-galanya dan itu semua bernilai tidak melebihi RM500,000," katanya sambil menyifatkan jumlah RM3 juta itu sebagai 'tidak masuk akal'.
'Pasukan krisis asrama' telah menjalankan tinjauan dan mendapat maklum balas daripada 760 pelajar. Kerugiaan yang ditanggung oleh setiap pelajar dianggarkan RM780 juta dan ini termasuk pembatalan perjanjian sewaan rumah sekarang.
"Jadi, keseluruhan jumlah kerugian bagi 4,000 pelajar terbabit dianggarkan RM3 juta," kata seorang anggota pasukan itu, Kuek Ser Kuang Keng.
Mengenai majlis dialog antara Alias dengan 600 pelajar yang diadakan Sabtu lalu, beliau berkata, para pelajar kecewa kerana pihak universiti gagal meyakinkan mereka mengenai kebaikan peraturan baru.
Sokongan kementerian
Sementara itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Fu Ah Kiow berkata beliau telah memberitahu pihak UTM bahawa tidak perlu dikuatkuasakan peraturan baru itu.
"Tidak perlu meminta pelajar kembali tinggal di dalam kampus kerana, sepertimana yang ditimbulkan oleh pelajar terbabit, ia akan menimbulkan masalah seperti penamatan perjanjian sewa rumah dan sebagainya," katanya ketika dihubungi.
Ini bukanlah kali pertama UTM yang mempunyai kampus induk di Johor, memperkenalkan peraturan baru yang tidak disenangi pelajar. November lalu, ia melaksanakan peraturan mengenai pakaian yang mesti dipakai oleh pelajarnya pada setiap hari Isnin.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.