Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiada pendirian tetap.

"Dua hari lepas dia kata BN akan kalah, semalam dia kata pembangkang akan kalah. Saya pun tak faham apa sebenarnya naratif atau pendirian dia. Berubah setiap hari.

"Walau apa pun yang penting, jentera kita perlu bergerak dan calon dapat menang dan dapat diterima rakyat di Kuala Kangsar dan Sungai Besar," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita mengenai kenyataan Mahathir semalam yang mengatakan pembangkang akan sentiasa kalah dalam pilihan raya jika tidak dapat bersatu.

Mahathir sebelum ini dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa pembangkang selamanya akan kalah dalam pilihan raya sekiranya berpecah-belah.

Perkara itu dinyatakan Mahathir selepas mengambil kira kegagalan pembangkang bersatu ketika pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini.

Selain itu, di tanya sama ada isu berkaitan surat daripada bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi nilai tambah kepada kemenangan BN dalam pilihan raya kecil akan datang, Hishamuddin berkata, perkara itu tidak boleh dijadikan sebagai ukuran.

"Masalah pembangkang tak boleh dilihat sebagai kejayaan BN. Yang penting, masalah itu mereka kena selesaikan dan rakyat akan menilai sama ada ikatan mereka itu kukuh atau tidak untuk mewakili pengundi dan rakyat di pilihan raya kecil nanti," katanya.