DAP pertikai Selangor bina banglo, kelab ekslusif untuk Exco negeri
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo hari ini diminta menjelaskan mengapa Kerajaan Selangor membina 10 rumah banglo dan rumah kelab ekslusif di Seksyen 7, Shah Alam, untuk ahli Exco kerajaan negeri itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo hari ini diminta menjelaskan mengapa Kerajaan Selangor membina 10 rumah banglo dan rumah kelab ekslusif di Seksyen 7, Shah Alam, untuk ahli Exco kerajaan negeri itu.
Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Teng Chang Khim berkata, keseluruhan projek tersebut memerlukan perbelanjaan sebanyak RM40 juta untuk kos tanah, pembinaan dan kos kelengkapan yang lain.
"Selain daripada itu, kerajaan negeri juga perlu menanggung semua kos pembiayaan dan penyelenggaraan rumah banglo dan rumah kelab itu setiap bulan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Buat masa ini, katanya, Kerajaan Selangor membayar elaun perumahan kepada semua ahli Exco negeri.
"Pembayaran elaun perumahan adalah lebih menjimatkan jika dibandingkan dengan pembinaan rumah banglo yang memerlukan kos penyelenggaraan bulanan yang tinggi," katanya.
Mengenai pembinaan rumah kelab itu pula, Teng berkata adalah amat tidak munasabah bangunan yang berharga berjuta-juta ringgit dibina di kawasan rumah banglo ahli Exco untuk kegunaan 10 ahli Exco sahaja.
Tunai janji
"Ahli Exco Selangor boleh menjadi ahli Kelab Shah Alam di mana yuran keahlian hanya RM1,500. Tiada sebab kukuh mengapa sebuah kelab ekslusif harus dibina untuk ahli Exco sahaja," katanya.
Sehubungan itu, katanya, Menteri Besar dan ahli Exco Selangor harus melihat jawatan mereka sebagai satu tanggungjawab untuk menunaikan janji-janji mereka kepada rakyat.
"(Perbelanjaan) wang rakyat harus diutamakan untuk kepentingan rakyat keseluruhannya dan bukan untuk dinikmati oleh ahli Exco," tambahnya.
Katanya, pembinaan rumah banglo dan rumah kelab ekslusif itu hanya mendedahkan bahawa Kerajaan Selangor gagal membelanjakan wang rakyat secara berhemah dan merupakan penyalahgunaan wang awam untuk kepentingan diri.
Sementara itu, Pemuda PAS pusat dan Selangor akan menyerahkan memorandum kepada Dr Mohd Khir berhubung isu pencerobohan tanah di Selangor.
Menurut satu kenyataan hari ini, memorandum itu akan diserahkan di pejabat Menteri Besar Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, di Shah Alam jam 10 pagi esok.

