Parti Amanah Negara (AMANAH) meminta PAS tidak menjadikan kerajaan Selangor sebagai bahan 'tebusan' jika Pakatan Harapan (HARAPAN) bertegas mahu meletakkan calon dalam dua pilihan raya kecil (PRK) akan datang.

Kata Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, tindakan PAS mengugut untuk menarik diri daripada kerajaan negeri sebagai tidak bertaggungjawab.

Khalid yang juga anggota parlimen Shah Alam ditanya berhubung laporan PAS diberi kata dua oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana membuat keputusan meletakkan calon di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Pada pilihan raya umum (PRU) 2013 kedua-dua kerusi itu ditandingi PAS yang ketika itu bersama PKR dan DAP membentuk Pakatan Rakyat.

PAS dilaporkan membuat keputusan meletakkan calon mereka kali ini berdasarkan peruntukan PRU lalu.

Kata Khalid AMANAH menganggap tindakan Azmin (gambar) itu "wajar dan boleh fahami".

"Ianya adalah (kerana) PAS sendiri tidak menghirau tanggangjawab kepada rakyat yang memilih (mereka) memerintah bersama Pakatan Rakyat," katanya di sidang media di parlimen hari ini.

Menurut Khalid pengundi memilih PAS dalam PRU ke-13 bukan atas kapasiti calon itu sendiri kerana ketika itu parti berkenaan masih bersama dengan Pakatan Rakyat.

Justeru kata Khalid, PAS tidak berhak menggunakan kemenangan mereka di Selangor untuk mengancam bekas rakan sekutunya bagi mencapai apa yang diingini.

"Keutamaan sepatutnya adalah rakyat.

"AMANAH menggesa PAS bertindak dengan berdasarkan tanggungjawab dan keyakinan diberi pengundi dan jangan mengkhianati mereka," katanya.

Sementara itu Azmin dikatakan akan bertemu pemimpin AMANAH bagi membincangkan isu calon PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Sumber memberitahu pertemuan itu dijangka diadakan petang ini.

The Star pula melaporkan Azmin meminta ADUN PAS yang dilantik menganggotai exco negeri meletak jawatan jika parti mereka bertegas mahu bertanding di dua PRK berkenaan.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula dilaporkan mengarahkan exco berkenaan jangan meletak jawatan tetapi bersedia jika disingkirkan.

[Baca berita asal]