Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Ng Wei Aik dilepas dan dibebas tuduhan menghasut
Diterbitkan:  May 19, 2016 3:37 PM
Dikemaskini: 7:39 AM

Mahkamah Sesyen George Town hari ini melepas dan membebaskan Anggota Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik daripada pertuduhan menerbitkan penerbitan yang menghasut dalam satu artikel berbahasa Mandarin bertajuk "Reformasi Bermula Lagi".
    
Hakim Ibrahim Osman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ng Wei Aik, di akhir kes pendakwaan.
    
Dalam penghakimannya Ibrahim berkata pendakwaan gagal mengemukakan kenyataan asal yang dibuat oleh tertuduh kepada mahkamah.
    
"Selain itu pendakwaan juga gagal membuktikan perkataan-perkataan yang diterbitkan oleh tertuduh adalah bersifat menghasut," katanya.

Hakim itu berkata pihak pendakwaan juga gagal membuktikan kenyataan yang ditulis oleh tertuduh bersifat menghasut apabila terdapat dua artikel berbeza berhubung tulisan Ng yang diterjemah ke dalam bahasa Mandarin.
    
Pada 6 November 2015, Ng mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
    
Ng didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Kwong Wah Yit Poh Press Bhd, di Lebuh Presgrave, antara 2.20 petang dan 2.30 petang, 10 Februari 2015.
    
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
    
Ng diwakili peguam Gobind Singh Deo dan RSN Rayer manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Cheah Yit.

- Bernama

Lihat Komen
ADS