Anwar berhak kritik saya, kata Dr M
Bekas ketua pembangkang yang kini dipenjarakan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhak memberi pandangannya, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri itu berkata demikian apabila ditanya surat kritikan Anwar kepada PKR, memberi amaran kepada parti itu agar waspada dengan Mahathir.
"Itu adalah pandangan beliau. Beliau berhak ke atas itu," Mahathir memberitahu media di Subang Jaya, hari ini.
Beliau turut menolak tuduhan yang dilemparkan pemimpin de facto PRK itu yang menyifatkannya sebagai pendokong kronisme yang dianggap sebagai kisah lama yang tidak perlu diungkit kembali.
Dalam surat dengan lapan halaman itu, Anwar mengejutkan banyak pihak dengan kritikan terbuka terhadap Mahathir dan Deklarasi Rakyat selain menyentuh pelbagai isu, daripada masalah keteguhan perjuangan dalam PKR kepada kelicikan dalam politik Malaysia.
Selain Mahathir, Tun Daim Zainuddin yang dilihat 'orang kanan' perdana menteri keempat itu serta Tengku Razaleigh Hamzah tidak terlepas daripada kritikan Anwar.
Antara inti pati amanat Anwar itu ialah terdapat pemimpin PKR bersekongkol dengan Mahathir dan Tun Daim melalui Deklarasi Rakyat sehingga menggugat perjuangan parti itu.
Mahathir juga disifatkan sebagai pemimpin zalim dan paling korup sebagai mantan menteri kewangan sambil memetik memetik ungkapan oleh penyair Inggeris terkenal, William Shakespeare : “ular yang dulu mematuk kini memakai mahkota”.

