Bantuan konsular temukan doktor dengan saudara tenat
Pada dinihari Sabtu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Datuk Ahmad Rasidi Hazizi sedang berehat. Ia permulaan hujung minggu yang panjang kerana cuti Hari Easter jatuh pada Isnin.
Beliau dikejutkan dengan satu panggilan telefon. Pegawainya memaklumkan, seorang doktor warga Malaysia perlu pulang dengan segera ke tanah air untuk menziarahi saudara yang tenat di hospital.
Isunya, pasport doktor Malaysia itu berada di Home Office – kementerian dalam negeri United Kingdom – untuk proses permohonan permit kerja.
Doktor berkenaan hanya menyedari perkara itu apabila berada di kaunter tiket di lapangan terbang Heathrow. Beliau tidak akan dapat menempah tiket dan menaiki penerbangan tanpa dokumen perjalanan sah.
Dr Najmiah Ahmad berhasrat untuk pulang dan berada di sisi adiknya yang pada masa itu sedang bertarung nyawa di unit rawatan rapi akibat pendarahan serius di bahagian otak.
Beliau hanya akan dapat memperoleh semula pasportnya pada Selasa, 29 Mei apabila pejabat Home Office beroperasi semula.
Pada waktu itu, segalanya mungkin sudah terlambat kerana adiknya hanya mampu bertahan dengan sokongan mesin seratus peratus, dan keadaannya semakin tenat.
Najmiah terpinga-pinga apabila menerima panggilan dari Ahmad Rasidi pada kira-kira jam 3 pagi.
Pesuruhjaya tinggi Malaysia itu memberitahunya supaya datang ke pejabatnya di Malaysia di Belgrave Square pada jam 9 pagi.
Ahmad Rasidi menambah, beliau sendiri akan berada di pejabat pesuruhjaya tinggi untuk menyelia urusan dokumen tersebut.
“Cuma bawa gambar dan kad pengenalan,” pesannya kepada Najmiah, seperti dilaporkan kembara.my, sebuah portal budaya pengembaraan. Beliau juga mengerahkan para pegawainya yang sedang bercuti pada masa itu untuk kembali bertugas.
Dokumen Perjalanan Kecemasan (EC) itu siap dalam tempoh beberapa minit sahaja dan diserahkan kepada Najmiah.
Ahmad Rasidi juga dengan bermurah hati membayar fi untuk dokumen tersebut – sebanyak GBP10 – memandangkan Najmiah terlupa untuk membawa wang dalam keadaan tergesa-gesa.
Dengan dokumen tersebut, Najmiah seterusnya berjaya menempah tiket dan menaiki penerbangan terawal untuk berada di sisi adiknya di sebuah hospital di Petaling Jaya.
EC dikeluarkan kepada warga Malaysia yang kehilangan pasport, atau memegang pasport yang tamat tempoh atau tempoh sah kurang dari enam bulan.

