Paling Popular
Terkini

ULASAN  Untuk menumpulkan usaha menjatuhkannya sebagai perdana menteri (PM), Najib Razak cuba menjadikan gerakan rakyat sebagai gerakan parti-parti pembangkang. Itu tidak benar.

Mereka yang menandatangani deklarasi rakyat adalah orang biasa, kebanyakannya bukan pun ahli mana-mana parti politik.

Ia juga cuba mengatakan yang saya telah menyertai pembangkang. Dia tidak menghiraukan bahawa deklarasi itu tidak dibuat atas nama parti-parti pembangkang tetapi di atas nama rakyat Malaysia.

Saya bersama gerakan ini sebagai seorang rakyat, bukan sebagai ahli parti politik. Saya juga tidak menyertai mana-mana parti.

Rakyat tidak mendesak untuk menjatuhkan erajaan tetapi sekadar menjatuhkan Najib. Jika Najib digugurkan, parti majoriti masih juga BN.

Dengan itu BN akan terus berkuasa dan berhak memilih perdana menteri baru.

Tetapi tentulah PM yang dipilih bukan seperti Najib, yang didakwa amalkan rasuah untuk memenangi pilihan raya dan sokongan dari parti.

Apabila Sarawak mengadakan pilihan raya negeri dan BN menang Najib mendakwa kemenangan dirinya sebagai PM, sebenarnya kemenangan itu disebabkan dasar Adenan Satem yang utamakan Sarawak.

Apabila saya desak supaya BN dikalahkan dalam pilihan raya kecil di semenanjung, sebabnya ialah supaya Najib tidak boleh dakwa kemenangan itu sebagai penerimaannya sebagai PM.

Pilihan raya kecil ini adalah pertandingan antara rakyat dengan Najib. Ia bukan pertandingan antara mana-mana parti lawan dengan BN. Oleh itu saya gesa supaya rakyat mengalahkan calon Najib. Kekalahan BN bermakna kemenangan rakyat melawan pemerintahan kuku besi Najib.

Rakyat perlu sokong siapa juga yang melawan BN sebagai calon rakyat. Tetapi jika rakyat meletak lebih dari satu calon, perpecahan di kalangan rakyat akan memberi kemenangan kepada BN.

Rakyat perlu letak hanya satu calon sahaja. Malangnya jika Hadi Awang meletakkan calon PAS, ini juga akan menolong BN jika rakyat letak calon melawan BN dan PAS.

Sebab itu untuk mengelak perpecahan di kalangan rakyat, jika PAS letak calon, rakyat perlu bagi sokongan padu kepada calon PAS supaya PAS menang besar dan BN kalah besar.

Kalaupun PAS menang, ia tidak dapat mendirikan kerajaan. Ia cuma akan menjadi hamba kepada BN yang memiliki lebih ramai wakil darinya.

PAS mungkin juga pura-pura menamakan calon tetapi apabila rakyat tidak meletak calon, PAS akan menarik diri supaya BN menang tanpa bertanding. Kita tidak akan hairan jika ini dilakukan oleh PAS.

Hadi nampaknya sudah terima cash is king Najib walaupun dunia anggap Najib sebagai pemimpin yang kuat rasuah. Itu pilihan Hadi dan itu memanglah haknya. Sebab itulah PAS berpecah.

Rakyat perlu ingat bahawa gerakan untuk menjatuhkan Najib adalah gerakan rakyat. Ia bukan gerakan mana-mana parti pembangkang tertentu.

Hanya apabila Najib tidak lagi menjadi PM baharulah demokrasi dapat dikembalikan dan segala tuntutan parti-parti boleh diperjuangkan. Setelah demokrasi kembali rakyat boleh tentukan tuntutan apa yang mereka akan sokong dan siapa yang akan memimpin negara.
 


TUN MAHATHIR MOHAMAD bekas perdana menteri. Tulisan ini disiarkan kali pertama di blog beliau dengan judul The citizens vs Najib.

Lihat Komen
ADS