Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin menafikan khabar angin dirinya adalah 'pilihan utama' PKR untuk bertanding atas tiket parti itu pada pilihan raya kecil Sungai Besar.

Anak kelahiran Tanjong Karang, Selangor itu yang kini menjawat kerusi Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar (HEP) UNISEL berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan di peringkat tertinggi parti.

"Hanya khabar angin. Perkara ini tidak pernah dibincangkan oleh pucuk pimpinan utama PKR," beliau memberitahu Malaysiakini.

Shaharuddin berkata sedemikian sebagai mengulas laporan akhbar The Star hari ini yang memetik sumber sebagai mendedahkan beliau sebagai calon 'pilihan utama' untuk bertanding di kerusi tersebut.

Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah turut memberitahu Malaysiakini, buat masa ini, belum ada petanda PKR akan menjadi parti tunggal di kalangan kumpulan itu untuk meletakkan calon di Sungai Besar.

"Tiada tanda-tanda (dari menteri besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) mengenai calon PKR," katanya ketika mengulas laporan akhbar yang sama.

Laporan The Star itu menyebut bahawa Azmin kini sedang berunding dengan pimpinan PAS Selangor untuk memberi laluan kepada PKR untuk bertanding secara solo menentang BN.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad pagi ini berkata, sepatutnya tiada pertikaian mengenai keputusan itu untuk bertanding di Sungai Besar kerana itu adalah kerusi tradisi untuk PAS.

[Baca berita penuh]