Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB Terengganu mahu pecat JKKK cuai jalankan tugas

Kerajaan Terengganu tidak akan berkompromi dengan mana-mana Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan KeselamatanKampung (JKKK) yang tidak menjalankan tugas dengan baik sebagaimana yang telah ditetapkan.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata tindakan tegas akan diambil termasuk menamatkan perkhidmatan secara serta-merta sekiranya JKKK tersebut melanggar peraturan dan tidak menepati Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang dilaksanakan di bawah transformasi politik menerusi konsep Transformasi Terengganu Baharu (TTB).

"Kita tak mahu ada lagi pengerusi JKKK yang tidak melakukan kerja dengan baik yang mana mereka tidak ambil tahu mengenai masyarakat di kawasan mereka...kita juga tak nak dengar lagi rakyat merungut JKKK mereka mementingkan kroni sahaja hingga nak tandatangan borang pun susah.

"Hal ini memang saya pandang serius sebab JKKK mewakili parti dan mewakili kerajaan, jadi mereka harus melakukan tugas dengan baik...kadang-kadang hanya kerana seorang JKKK yang buat hal, habis semua JKKK lain yang dipandang tidak baik.

"JKKK sepatutnya menolong dan memudahkan urusan masyarakat, tak usahlah buat susah, kita permudahkan sahaja apa yang patut barulah rakyat tak marah," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Himpunan Orang Kuala Berang (OKB) yang dihadiri lebih 2,000 penduduk di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang, dekat Hulu Terengganu semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Datuk Rozi Mamat.

Ahmad Razif berkata pihaknya akan membuka satu pusat aduan di Pejabat Menteri Besar Wisma Darul Iman bagi memudahkan orang ramai membuat aduan sekiranya tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan JKKK di kawasan mereka.

"Aduan secara terus boleh dibuat di pusat aduan ini yang mana saya akan hantar segera pegawai menyiasat setelah aduan dibuat dan kalau betul JKKK tersebut tidak jalankan tugas, kita akan tamatkan perkhidmatan mereka serta-merta," katanya.

Pada majlis tersebut, Ahmad Razif turut meluluskan peruntukan sebanyak RM1.39 juta untuk empat projek pembangunan di kawasan DUN tersebut.

"Sebanyak RM1.1 juta diluluskan bagi membina sebuah masjid baru di Kampung Pasir Tinggi, RM200,000 diberikan sebagai dana tambahan untuk membina pusat hemodialisis dan fisioterapi bagi kegunaan orang ramai di daerah ini," katanya.

Katanya, sebanyak RM50,000 diluluskan bagi membina sebuah gimnasium yang lengkap untuk orang muda manakala RM40,000 diluluskan untuk membeli kipas besar bagi kemudahan Masjid Kampung Buluh.

-Bernama

Lihat Komen
ADS