Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mkini menang kes saman fitnah oleh syarikat lombong emas
Diterbitkan:  May 23, 2016 11:00 AM
Dikemaskini: 11:25 AM

Portal berita Malaysiakini telah memenangi kes terhadap saman fitnah yang difailkan oleh syarikat lombong emas Raub Australian Gold Mining (RAGM).

Dalam keputusan hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rosnaini Saub menolak dakwaan syarikat lombong emas itu terhadap Malaysiakini dan tiga defendan lain.

Hakim Rosnaini berkata defendan berjaya mereka membela diri dengan qualified privilege atau hak keistimewaan - iaitu keistimewaan Reynolds, iaitu kewartawanan dan melaporkan dengan bertanggungjawab.

"Niat jahat juga tidak dapat dibuktikan. Atas dasar ini, tuntutan plaintif terhadap defendan perlu ditolak, " kata Hakim Rosnaini dalam penghakiman 37 muka surat.

Beliau juga mengarahkan RAGM membayar kos sebanyak RM50,000 kepada defendan.

Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini Steven Gan gembira dengan keputusan hari ini.

"(Ia) menunjukkan bahawa mahkamah mengiktiraf hakikat bahawa kita tidak membuat kesalahan dalam melaporkan sidang akhbar," kata Gan kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Gan juga merakamkan pengharagaan kepada peguam James Kong dan Syahredzan Johan yang menawarkan khidmat mereka secara pro bono dalam membela defendan.

Ditanya sama ada beliau gembira kerana portal berita bebas itu memutuskan untuk melawan kes berkenaan di mahkamah, Gan berkata portal itu berdiri di atas kepercayaan yang kuat bahawa mereka tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Oleh itu saya fikir kita membuat keputusan yang tepat dalam melawan kes ini," katanya.

Antara isu utama dalam kes itu, kata Gan, adalah hak defendan sebagai wartawan dan sehubungan itu, beliau gembira bahawa mahkamah telah mengambil perhatian tentang tugas mereka sebagai wartawan dalam melaporkan perkara tersebut.

"Oleh itu, kita tidak patut dihukum untuk berbuat demikian," katanya.

RAGM memulakan tindakan undang-undang terhadap Malaysiakini pada bulan September 2012.

Syarikat itu berkata artikel yang disiarkan oleh portal berita berkenaan telah merosakkan reputasinya.

Dakwaan bahawa sianid natrium yang digunakan untuk pengekstrakan emas adalah berbahaya kepada penduduk Bukit Koman, bagi syarikat itu adalah tidak berasas.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS