NGO Indonesia dakwa dutanya gagal tangani isu pekerja tanpa izin
Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Indonesia mendakwa bahawa kedutaan republik itu di Kuala Lumpur tidak cekap mengendalikan isu membabitkan pekerja tanpa izin Indonesia di Malaysia.
Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Indonesia mendakwa bahawa kedutaan republik itu di Kuala Lumpur tidak cekap mengendalikan isu membabitkan pekerja tanpa izin Indonesia di Malaysia.
"Pihak berkuasa Indonesia sepatutnya mendisiplin kakitangan diplomatiknya mengenai tanggungjawab perlembagaan untuk melindungi rakyat Indonesia," kata Penyelaras Perlindungan Pendatang di Malaysia, Alex Ong.
Beliau mendakwa masalah pekerja tanpa izin Indonesia di Malaysia menjadi lebih buruk "disebabkan oleh pegawai Indonesia yang tidak bertanggungjawab, bermula daripada dutanya, H Rusdiharjo, yang tidak membuat 'kerja rumah' atau melaksanakan tugasnya dengan berkesan".
Dalam satu kenyataan keras mengenai perkara itu hari ini, Ong berkata adalah 'tidak benar dan mengelirukan' apabila pihak kedutaan mendakwa hanya 500 pekerja Indonesia yang tidak dibayar gaji oleh majikan mereka.
Menurut Ong, berdasarkan 51 laporan rasmi yang difailkan di jabatan buruh kedutaan Indonesia, sudah terdapat 1,130 kes, termasuk kira-kira 200 kes daripada pihaknya.
Menteri lebih tahu
Katanya, Menteri Buruh dan Transmigrasi Indonesia, Fahmi Idris "lebih mengetahui' dan memahami isu pekerja tanpa izin Indonesia, jika dibanding dengan duta republik itu yang tinggal di Malaysia.
"Fahmi telah melawat tapak kerja, agensi, konsortium, ladang dan secara bercakap terus dengan ribuan pekerja Indonesia, sejak tempat minggn lalu.
"Beliau pastinya telah mendapat gambaran sebenarnya mengenai keadaan di sini, berbanding dengan Rusdihardjo," katanya.
Dalam wawancara dengan malaysiakini baru-baru ini, Fahmi mendakwa 100,000 pekerja tanpa izin Indonesia tidak dibayar gaji, tetapi ianya disangkal oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr Fong Chan Onn.
Mengenai operasi Ops Tegas sekarang, Ong berkata kedutaan Indonesia hampir tidak langsung memberi angka mengenai jumlah rakyat Indonesia yang telah ditangkap.
"Tidak ada tindakan proaktif oleh pihak kedutaan untuk menghantar pegawainya mengawasi operasi tersebut," katanya, sambil menambah banyak serbuan oleh anggota sukarela dari Rela dan Rukun Tetangga, dilakukan tanpa pengawasan yang sempurna oleh pegawai penguatkuasa imigresen.
Katanya, pihak kedutaan juga gagal untuk mengambil tindakan susulan terhadap mereka yang ditangkap dan ditempatkan di kem-kem tahanan.
"Di kem tahanan di Semenyih, terdapat pekerja yang memiliki dokumen sah yang turut ditangkap. Sesetengah tahanan mendakwa mereka tidak diberi makanan yang mencukupi di kem tersebut," dakwanya.
Ong juga mendakwa, berlaku banyak kejadian di mana proses penghantaran pulang pendatang tanpa izin tidak dilakukan mengikut prosidur sepatutnya.
Tuduhan tidak berasas
Sementara itu, Timbalan Ketua Misi Kedutaan Indonesia, A M Fachir menafikan semua dakwaan tersebut.
Menurutnya, pegawai kedutaan bekerja keras untuk menangani isu pekerja tanpa izin, lama sebelum Kerajaan Malaysia memberi pengampunan. itu.
"Malah, sebelum tempoh pengampunan pun, kami sudah bersiap sedia untuk menangani masalah yang mungkin timbul," katanya dalam satu sidang akhbar semalam.
"Saya sendiri bercakap dengan konsol kami di Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Pulau Pinang mengenainya, sebelum proses pengampunan tersebut," tambahnya.
Fachir berkata, tidak ada faedahnya untuk bertelingkah mengenai jumlah pekerja yang mendakwa tidak dibayar gaji oleh majikan mereka di Malaysia.
"Perkara paling penting ialah kita perlu menyelesaikan masalah itu. Saya rasa kami dan badan tersebut (Ong) juga berkongsi visi yang sama dalam soal ini," tambahnya.
Buat masa ini, duta Indonesia tiada di Kuala Lumpur.

