Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tunggu respon PAS, Pakatan Harapan tangguh mesyuarat lagi

Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail memberitahu, mesyuarat Pakatan Harapan bagi membincangkan isu pilihan raya kecil ditangguhkan sekali lagi kerana menunggu respon daripada PAS.

Menurutnya, respon daripada PAS amat diperlukan memandangkan parti itu menyatakan hasrat mahu bertanding di kedua-dua kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebelum ini.

"Kita sekarang menunggu respon daripada PAS. Kita juga adakan mesyuarat secara tertutup kerana mereka yang bertanding di dua kerusi itu sebelum ini. Jadi ia merupakan salah satu cara untuk berunding bagaimana untuk menyelesaikannya (isu perebutan kerusi)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Mesyuarat Pakatan Harapan sepatutnya diadakan pada Khamis lalu bagaimanapun ditunda kepada hari ini.

Bagaimanapun, mesyuarat pada hari ini juga ditangguhkan kepada tarikh yang belum ditetapkan.

Selain itu, ditanya sama ada kenyataan PAS yang tetap ingin bertanding di dua kerusi tersebut menyebabkan penangguhan mesyuarat HARAPAN, Wan Azizah berkata:

"Tidak juga. Kita ada perkara lain dan program lain juga," katanya lagi.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin meminta supaya tiada pihak yang cuba 'membuat isu' ekoran penangguhan mesyuarat tersebut.

Justeru itu, beliau mengandaikan bahawa mesyuarat HARAPAN tetap akan dilakukan selewat-lewatnyanya sebelum penamaan calon.

"Jangan cuba buat isu, agendanya ialah kita akan mengadakan mesyuarat kerana terlalu banyak perkara berlaku.

“Kita akan panggil mesyuarat bila masa yang sesuai," katanya.

Ditanya bilakah masa yang sesuai untuk mengadakan mesyuarat, anggota parlimen Bukit Katil itu berkata:

"Mungkin 4 Jun. Apa masalahnya dengan itu? Saya tak pasti, mungkin awak patut tanya dengan orang yang betul," katanya lagi.

Pilihan raya kecil Kuala Kangsar diadakan ekoran kematian Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban akibat nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Turut terkorban dalam insiden itu ialah anggota Parlimen Sungai Besar Datuk Noriah Kasnon yang juga timbalan menteri perusahaan perladangan dan komoditi.

Dua kerusi tersebut sebelum ini ditandingi oleh PAS.

Bagaimanapun, pada pilihan raya kecil kali ini, parti Islam itu, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) mengeluarkan kenyataan untuk bertanding di kawasan itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Jun sebagai hari pengundian, manakala penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun.

Lihat Komen
ADS