Pilihan jalan raya untuk gulingkan kerajaan: KDN
Aktivis reformasi dan penulis kolum malaysiakini , Hishamuddin Rais yang ditahan dua tahun di kem Kamunting dituduh mendakwa "pilihan jalan raya" langkah terbaik menggantikan kerajaan, bukannya pilihan raya.
Aktivis reformasi dan penulis kolum malaysiakini , Hishamuddin Rais yang ditahan dua tahun di kem Kamunting dituduh mendakwa "pilihan jalan raya" langkah terbaik menggantikan kerajaan, bukannya pilihan raya.
Hishamuddin dituduh berkata: "... dalam sejarah politik dunia tidak ada seorang diktator, tiada seorang diktator yang dapat dijatuhkan melalui pilihan raya" ... "hanya ada satu jalan sahaja untuk menumpaskan rejim seperti ini... tidak lagi dalam pilihan raya, bukan lagi dalam pilihan raya tapi pilihan jalan raya..."
Beliau dituduh mengeluarkan kenyataan demikian ketika berucap di depan 500 orang dalam ceramah anjuran sebuah parti politik di Taman Tuanku Jaafar, Seremban pada 21 Oktober tahun lalu.
Kementerian Dalam Negeri dalam perintah tahanan terhadap Hishamuddin menyebutkan: "Hasutan sedemikian itu boleh merangsang orang ramai untuk bertindak menggulingkan kerajaan yang sah dengan cara kekerasan di luar undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan."
Bekas pemimpin pelajar itu juga dituduh menyampaikan pendapat yang sama semasa berucap di satu ceramah yang dihadiri lebih kurang 3,000 orang di Sentul, Kuala Lumpur awal Oktober 1999.
Selain beliau, tiga lagi pemimpin Parti Keadilan Nasional turut ditahan di kem itu, Naib Presiden Tian Chua, Ketua Pemudanya Mohamad Ezam Mohd Nor dan ahli jawatankuasa pusat parti itu Saari Sungib.
'Rusuhan dan keganasan'
Selain dua pertuduhan menghasut itu, Hishamuddin turut dihadapkan dengan tiga lagi alasan - menghadiri perjumpaan sulit dengan anasir-anasir reformasi dan menyertai demonstrasi anjuran gerakan itu.
Beliau dituduh terlibat dengan gerakan reformasi sejak 14 April 1999 hingga ditangkap di pejabatnya di Bangsar, Kuala Lumpur 10 April lalu.
Penulis itu dituduh menghadiri tiga perjumpaan dengan 10 hingga 25 orang aktivis reformasi di Setapak dan Bangsar, kedua-duanya di Kuala Lumpur, antara Oktober hingga November lalu bagi merancang 'Perhimpunan 100,000 Rakyat' yang dijadualkan 5 November. Perhimpunan itu didakwa mencetuskan "rusuhan dan keganasan" di sekitar plaza tol Lebuhraya Kesas.
Hishamuddin juga didakwa menghadiri satu perjumpaan dengan sembilan aktivis reformasi di Dewan Perhimpunan Cina Selangor pada Februari lalu dan merancang strategi mempengaruhi orang ramai menyertai demostrasi jalanan.
Selain itu, beliau dituduh pernah menyertai demonstrasi yang dihadiri 50 hingga 10,000 orang di sekitar Lembah Kelang antara 14 April 1999 hingga 6 Mac tahun ini.
Perhimpunan itu "bertujuan menghasut orang ramai agar menyertai perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan yang boleh mendatangkan huru-hara serta menganca, ketenteraman awam dan memudaratkan keselamatan negara.
Hishamuddin dan tiga lagi dibawa ke kem itu pada 2 Jun lalu dan perintah tahanan itu, bersama alasan-alasan ini, ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Abdullah Baadwi.
Selain empat yang ditahan di kem Kamunting, empat yang lain telah dibebaskan sejak dua minggu lalu. Sementara dua lagi, Dr Badrul Amin Bahron dan Lokman Noor Adam, masih lagi dalam tempoh siasatan polis.
Malaysiakini pernah melaporkan Lokman menjangkakan beliau ditahan selama dua tahun di Kamunting.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.