Keputusan permohonan pertukaran 15,000 guru diketahui 1 Jun

   

Keputusan permohonan pertukaran 15,000 guru yang berjauhan daripada pasangan masing-masing akan diketahui pada 1 Jun ini, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata permohonan pertukaran itu dibuka kepada guru-guru pada setiap Januari, Jun dan Disember.

Keputusan permohonan itu akan dibuat berdasarkan tiga kriteria utama iaitu tempoh masa guru mengajar di sesebuah sekolah, faktor kesihatan guru berkenaan dan tempoh guru berjauhan daripada pasangannya.

"Sejak tahun lepas sehingga April tahun ini, permohonan hampir 3,000 guru diluluskan bagi membolehkan mereka berpindah mengikut pasangan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Warga Pendidik Parlimen Batu di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Sentul di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau turut menyampaikan anugerah kepada sekolah, guru bersara dan tokoh guru peringkat Parlimen Batu.

Terdahulu, dalam ucapannya Mahdzir berkata Kementerian Pendidikan mahu penguasaan akademik pelajar seiring dengan perkembangan sahsiah dirinya.

"Selain menguasai aspek kemahiran berfikir, pembentukan, membentuk peradaban bangsa juga penting walaupun ia mengambil tempoh yang masa," katanya.

- Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda