Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual melawat Kuching Isnin ini lawatan pertamanya ke negeri ini sejak dibebaskan daripada penjara tahun lalu.

Ketua perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri itu, Wan Zainal Abidin Wan Sanusi memberitahu malaysiakini hari ini, lawatan tersebut akan membolehkan Anwar bertemu penyokongnya serta pemimpin parti-parti pembangkang di Sarawak.

Menurutnya lagi, jadual awal untuk Anwar mengadakan ceramah umum yang memerlukan permit polis, akan digantikan dengan majlis kesyukuran, bertempat di rumah penasihat PKR, Hafsah Harun di Kuching pada petang yang sama.

"Kami akan menghantar jemputan kepada pemimpin PAS, Parti Kebangsaan Sarawak, Parti Pembaharuan Negeri (Star) dan DAP," kata Wan Zainal.

Dihalang masuk?

Ditanya mengenai khabar-khabar angin bahawa Anwar mungkin tidak dibenarkan masuk ke negeri itu, Wan Zainal berkata: "Kami tidak tahu mengenainya. Harap-harap tidaklah."

Dalam wawancara dengan malaysiakini baru-baru ini, Anwar menegur Ketua Menteri Tan Sri Taib Mahmud, antaranya, mengkritik gaya kepimpinannya.

Malahan, ketika Anwar masih menjadi Timbalan Perdana Menteri, sudah menjadi pengetahuan umum bahawa hubungannya dengan pemimpin Sarawak itu tidak rapat.

Ada pihak yang mendakwa Anwar bertanggungjawab terhadap siasatan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) ke atas beberapa penyokong kuat Taib ketika itu.

Kerajaan negeri itu mempunyai kuasa imigresennya sendiri dan boleh menghalang orang luar, termasuk dari Semenanjung Malaysia dan Sabah, masuk ke negeri itu atas sebab-sebab keselamatan.

Beberapa pemimpin peringkat kebangsaan dan aktivis sosial telahpun disenaraihitamkan dan tidak dibenarkan masuk ke Sarawak.

Pemerhati politik pula berkata lawatan Anwar boleh membuka peluang kepada kumpulan yang menentang Taib, mengadakan perbincangan bagi mewujudkan kerjasama bagi mengelak bertandingan antara mereka dalam pilihanraya negeri yang dijangka diadakan pada bila-bila masa dari sekarang hingga November tahun depan.


TONY THIEN adalah wartawan sambilan malaysiakini di Sarawak.