Puluhan pokok tumbang dan kenderaan rosak di PP
Pulau Pinang dilanda ribut serta hujan lebat hampir sejam tengah malam tadi, mengakibatkan puluhan pokok tumbang dan sejumlah rumah mengalami kerosakan terutama pada bahagian bumbung.
Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Azman Hussain berkata hujan serta angin kencang yang bermula pada 12 tengah malam itu, turut menyebabkan pelbagai kerosakan harta benda termasuk kereta dan motosikal akibat ditimpa pokok.
Antara kawasan terjejas ialah Butterworth, Permatang Pauh, Bukit Indera Putera, Sungai Dua, Nyior Sebatang, Tasek Gelugor, Kepala Batas, Simpang Ampat Tasek, Sungai Acheh, Gelugor dan Bayan Lepas.
"Sehingga pukul 2 pagi tadi, pihak bomba menerima 12 laporan berkaitan pokok tumbang dan kerosakan harta benda," katanya ketika dihubungi Bernama di Butterworth hari ini.
Beliau berkata pihaknya turut menerima laporan pintu kaca sebuah bank di Sungai Dua, dekat sini turut pecah akibat angin kuat berkenaan.
Sementara itu Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang, Said Sidup berkata sehingga 12.30 tengah hari ini, pihaknya menerima laporan sebanyak 25 buah rumah rosak akibat bencana itu.
Katanya 11 rumah rosak di Seberang Perai Tengah iaitu sembilan di Permatang Pasir dan tiga di Bukit Indera Muda, manakala di Kepala Batas, Seberang Perai Utara, 14 buah rumah dilaporkan rosak.
Rekod mengenai mangsa yang tercedera tidak diperoleh, katanya.
Seorang mangsa Khatijah Awang, 48, berkata sebahagian rumah arwah bapanya di Permatang Pasir rosak teruk dan bumbung diterbangkan angin kuat, namun ketika kejadian, tiada sesiapa di dalamnya.
Tinjauan Bernama di sebelah pulau pula mendapati pokok-pokok yang tumbang dan ranting kayu sudah dibersihkan pihak bomba dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang.
- Bernama

