Pemimpin Umno Wilayah Persekutuan Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menggesa pemimpin yang 'merajuk' kembali bersatu bagi memastikan kemenangan BN dalam dua pilihan raya kecil (PRK) bulan depan.

"Jika mereka benar-benar sayangkan Umno dan tidak ada agenda peribadi, kembalilah semula, bersatu tenaga untuk menumbangkan pembangkang, buktikan keikhlasan dan setia kepada parti," tegasnya.

Ketua Umno Cheras itu berkata, pemimpin kononnya marahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu mengotakan prinsip sedia berkhidmat kepada parti.

"Sekarang kita bakal berdepan dengan PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, buktikan dengan tindakan untuk mempertahankan Umno melebihi agenda peribadi," tulisnya dalam blog Umno bahagian.

"PRK di kedua kawasan berkenaan bukan kerana kepentingan individu tertentu, tetapi demi kelangsungan perjuangan Umno untuk kepentingan rakyat dan umat Melayu khususnya.”

Menurut Syed Ali lagi, PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar menjadi ujian perpaduan di kalangan anggota Umno.

Katanya, kekuatan sebenar Umno akan menjadi ukuran keupayaan parti itu termasuk BN untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.