Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Majlis Peguam sambut baik keputusan batal saman Shafee
Diterbitkan:  May 26, 2016 4:00 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

Majlis Peguam menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang menolak saman yang difailkan oleh peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Naib Pengerusi George Varughese berkata keputusan itu mengulangi hak Majlis Peguam untuk membentangkan usul terhadap Shafee.

"Keputusan itu menyatakan bahawa ahli-ahli mempunyai hak untuk membincangkan usul dan untuk Majlis Peguam meletakkannya di laman web. Shafee mempunyai hak untuk membela (dirinya) pada mesyuarat agung tahunan," katanya.

Ketika ditanya sama ada peguam boleh meneruskan pembentangan usul itu dan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk tujuan berkenaan, Varughese berkata ia bergantung kepada pencadang.

"Bagi kami cadangan untuk mengemukakan usul itu pada Mesyuarat Agung Tahunan sudah berlalu kerana terdapat injunksi.

“Untuk perkara itu didengar sekali lagi, ia bergantung kepada pencadang dan sama ada terdapat keperluan untuk mengadakan EGM," katanya kepada pemberita.

Shafee Abdullah hari ini gagal dalam saman fitnah menentang peguam Tommy Thomas, bekas hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri VC George dan Majlis Peguam selepas mahkamah mendapati adalah tidak sesuai untuk beliau berbincang bukti 'dalam kamera' semasa forum.

Beliau memfailkan saman itu untuk menghentikan Tommy dan George daripada membentangkan usul terhadap beliau di AGM Badan Peguam tahun lalu. Beliau memperoleh injunksi ex-parte sehari sebelum AGM untuk menghentikan usul itu daripada dibentangkan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Hanipah Farikullah, dalam menolak saman itu hari ini, memutuskan bahawa mahkamah telah menerima justifikasi pihak pembelaan, kelayakan keistimewaan dan komen adil.

Varghese berkata kenyataan penuh akan dikeluarkan kemudian oleh Presiden Majlis Peguam Malaysia Steven Thiru yang kini di luar negara.

Sementara itu, bekas Presiden Majlis Peguam Christopher Leong menyifatkan keputusan itu sebagai "sangat baik" kerana mahkamah telah mengiktiraf dengan jelas dan mengesahkan semula aspek kritikal mengenai perkara yang melibatkan ahli dan juga isu yang mempunyai kepentingan awam.

Shafee juga dijangka mengeluarkan satu kenyataan bertulis berhubung keputusan hari ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS