BN, PAS bergabung tenaga bawa hudud, dakwa Guan Eng
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendakwa bahawa BN dan PAS telah bekerjasama untuk membentangkan usul hudud di Dewan Rakyat untuk tujuan politik.
"Ini adalah kerjasama antara Umno dan PAS ... antara BN dan PAS," katanya.
Beliau menggesa rakan-rakan BN - MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti di Sabah dan Sarawak - untuk menyatakan pendirian mereka.
"Mereka kata akan keluar daripada BN ... Saya ingin tahu jika mereka (masih) bersedia untuk berbuat demikian," katanya.
Beliau mendakwa bahawa rang undang-undang persendirian yang dibawa oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu tidak mengikut perlembagaan.
Beliau memberi amaran bahawa sekiranya rang undang-undang itu diluluskan di Parlimen, ia akan memberi kesan ke atas sistem kehakiman.
"Tidak lama lagi, kita akan lihat negara amalkan dua sistem (undang-undang),” katanya di lobi Parlimen.
Jika rang undang-undang itu diluluskan, ini akan merintis jalan untuk pelaksanaan hudud di Kelantan.

