Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Salah faham besar rakan BN berhubung RUU hudud, kata PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak mengakui terdapat "salah faham" di kalangan parti-parti komponen BN mengenai rang undang-undang ahli persendirian yang dibentangkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat, semalam.

Katanya, apa yang dibentangkan bukan undang-undang hudud tetapi pindaan yang menjurus ke arah pemerkasaan sistem hukuman yang tertakluk di bawah Mahkamah Syariah.

“Kita dah bagi tahu kepada rakan kita di BN, pertama ada salah faham yang besar bahawa apabila Hadi bawa rang undang-udang persendirian itu, mereka pandang bahawa dia bawa undang-undang hudud.

“Label dan kaitan dengan Hadi terlalu rapat dengan soal hudud... jadi bila dia bangkit je orang ingat automatik hudud,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Umno.

Rang undang-undang persendirian Hadi bertujuan untuk meminda Akta 355 mengenai bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Dalam satu langkah yang luar biasa di Parlimen semalam, kerajaan mempercepatkan rang undang-undang itu walaupun ia disenaraikan sebagai perkara terakhir di atas kertas perintah Dewan Rakyat.

Ini mendorong tindak balas segera daripada pelbagai parti komponen BN seperti MCA, MIC, Gerakan dan SUPP, yang membidas langkah itu.

Najib juga diminta mengulas tindakan Timbalan Pengerusi MCA Kedah, Datuk Leong Yong Kong yang meletak jawatan dan keluar parti sebagai tanda bantahan terhadap pembentangan usul persendirian itu.

"Ini yang nak saya terangkan di sini, bahawa pindaan (yang di bawa) itu bukan hukum hudud.

"Ia merupakan apa yang di katakan sebagai 'enhanced punishment', peningkatan hukuman daripada enam kali rotan kepada beberapa kali, tertakluk kepada kesalahan tertentu," katanya.

Menurut Najib, rang undang-undang itu cuma melibatkan Mahkamah Syariah dan hanya orang Islam serta tidak ada kena mengena dengan orang bukan Islam.

“Kaedah rotan dalam Islam pun tidak sampai nak cederakan, dia punya kaedah yang agak terbatas dari segi cara nak kenakan hukuman,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS