Kira-kira 500 nelayan mangsa tsunami di Kota Kuala Muda, Kedah mahu kerajaan mempercepatkan proses pinjaman dari Dana Nelayan yang ditubuhkan bagi membantu mereka membeli bot baru.

Mereka mendakwa sudah menunggu lebih dua bulan untuk mendapatkan pinjaman maksima RM70,000 seorang untik membeli bot baru tetapi sehingga hari ini masih belum mendapat jawapan..

Tragedi tsunami pada 26 Disember lalu menyebabkan 200 bot nelayan Kuala Muda musnah menyebabkan mereka kehilangan rezeki.

Seorang nelayan, Mat Zahid Yahya berkata, beliau tidak dapat menangkap ikan selagi pinjaman dari Dana Nelayan untuk membeli bot baru tidak diluluskan.

Katanya, pada mulanya kerajaan menjamin pinjaman tersebut akan diluluskan secepat mungkin tetapi kini sudah dua bulan, tetapi belum mendengar sebarang khabar berita.

"Dua bulan adalah tempoh masa yang lama kepada nelayan kerana pendapatan mereka bergantung kepada ikan yang ditangkap. Kalau tidak ke laut bermakna `dapur tidak berasap'.

"Kami sudah beberapa kali mengisi borang pinjaman Dana Nelayan tetapi tidak tahu sama ada ia diluluskan atau tidak," kata Mat Zahid yang mempunyai tiga anak yang masih bersekolah.

Berikutan itu, Mat Zahid hilang sumber pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan dan beliau tidak sanggup untuk menunggu lebih lama lagi untuk mendapatkan pinjaman tersebut.

Ahmad Darus pula berkata, beliau mahu pihak berkuasa meluluskan segera permohonan pinjaman Dana Nelayan kerana sudah terlalu lama menunggu sedangkan wang simpanannya sudah kehabisan.

"Saya tidak tahu mengapa sehingga sekarang kerajaan belum meluluskan pinjaman tersebut meskipun pegawai Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) datang membuat pemeriksaan beberapa kali," kata beliau yang mempunyai lapan anak.

Bagaimanapun, Ahmad mendapat bantuan kewangan sebanyak RM3,000 sumbangan kerajaan Negeri Kedah tetapi sudah habis dibelanjakan untuk menyara keluarga dan lapan anaknya.

Tokoh korporat mungkir janji

Sementara itu, Pegawai Perikanan Kuala Muda Ismail Abu Hassan berkata, beliau sendiri tidak tahu mengapa pinjaman Dana Nelayan lewat diluluskan.

Katanya, beliau sudah beberapa kali bertanyakan hal tersebut kepada pihak-pihak yang terlibat tetapi semua mengatakan bantuan akan diluluskan tetapi tidak tahu tarikh yang sebenar.

"Mengikut janji kerajaan sebelum akhir bulan Mac ini semua permohonan nelayan untuk mendapatkan pinjaman Dana Nelayan akan diluluskan tetapi sehingga hari ini tidak ada seorangpun yang mendapatnya," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini banyak tokoh korporat yang berjanji mahu menghulurkan bantuan kepada nelayan tersebut tetapi `sekadar membuat janji sahaja.'

Pengerusi Persatuan Nelayan Kedah (Nekad), Jusoh Manaf berkata, Kerajaan Pusat memperuntukan RM9 juta kepada nelayan Kedah untuk membeli bot baru bagi menggantikan bot rosak kerana tsunami.

Katanya, setiap pemohon akan mendapat bot masing-masing tetapi perlu mengambil sedikit masa kerana syarikat pembuat bot sedang menyiapkan tempahan masing-masing.

"Di kawasan Kota Kuala Muda, lebih 100 bot akan dibina untuk mereka dan dijangka siap sepenuhnya dalam masa dua bulan," katanya ketika dihubungi oleh malaysiakini hari ini.

Beliau berkata, Nekad melantik sembilan syarikat pembuat bot di Kedah bagi mempercepatkan kerja-kerja pembinaan bot tersebut untuk diserahkan kepada nelayan mangsa tsunami.

Menurutnya, setiap nelayan dikenakan separuh daripada jumlah pinjaman iaitu di antara RM25,000 dan RM70,000 bagi membina sebuat bot lengkap dengan enjin dan pukat.