Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
'Banjir di Cameron, dakwaan Palanivel wajar dilapor ke SPRM'
Diterbitkan:  May 30, 2016 3:16 PM
Dikemaskini: 8:50 AM

Anggota Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim kesal dengan kejadian banjir kilat yang menimpa penduduk di Kampung Terla, Cameron Highlands, semalam.

Irmohizam berkata biarpun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku, namun banjir kilat kali ini boleh dianggap dasyat dan seolah-olah tiada jalan penyelesaian.

Justeru kata Irmohizam, dakwaan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Seri G Palanivel bahawa penerokaan di kawasan itu didalangi  individu atau kumpulan berpengaruh perlu dibawa kepada Surahanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Memandangkan Datuk Seri G Palanivel pernah memegang portfolio sebagai Menteri Sumber Asli selama 2 tahun sebelum ini, maka beliau cukup arif terhadap apa yang terjadi.

"Sekiranya benar dakwaan beliau, wajar laporan beliau selaku anggota parlimen Cameron Highlands dapat dilakukan kepada SPRM dengan kadar segera selain mencadangkan kepada kerajaan agar mewujudkan sebuah jawatankuasa bertindak agar kejadian kerakusan tarahan tanah tinggi ini dapat diatasi dengan kadar segera,” kata Irmohizam dalam kenyataan.

Banjir kilat selama sejam di tanah tinggi awal pagi semalam menyebabkan sebuah jambatan yang menghubungkan perkampungan orang asli runtuh manakalan tiga kereta dan tiga motorsikal dihanyutkan arus.

Dalam kejadian yang bermula sekitar jam 2.30 pagi itu, sebuah kereta milik pelancong turut rosak akibat dihempap pokok manakala beberapa buah rumah penduduk turut dinaiki air setinggi 0.3 meter.

Mengulas lanjut Irmohizam yang juga Ahli Jawatankuasa Parlimen Menangani Rasuah (JKMR) menyeru agar penduduk di Cameron Highlands dapat bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam memberi maklumat mengenai penerokaan haram.

“Disamping itu, pegawai serta kakitangan  jabatan yang bertanggungjawab perlu lebih tegas, berintegriti dan berani menguatkuasakan undang-undang. Jangan sesekali berkompromi dengan pesalah-pesalah yang tidak mahu memikirkan kesan daripada tindakan mereka itu,” kata Irmohizam.

Irmohizam berkata sebagai langkah berjaga-jaga, beliau mencadangkan kajian dilakukan bagi mengenalpasti kawasan-kawasan berisiko tinggi agar langkah-langkah keselamatan dapat diambil selain meminta penduduk berhati-hati sekiranya berlaku hujan lebat.

Lihat Komen
ADS