Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siswa perubatan rosakkan patung kuil layak dibicarakan

Seorang siswazah perubatan yang menghadapi dua pertuduhan merosakkan patung di dalam sebuah kuil dan memiliki senjata berbahaya di Ipoh pada April lepas, layak dibicarakan di mahkamah.
    
Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab berkata laporan psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan pada 19 Mei lepas menyatakan Fathi Munzir Nadzri, 29, layak dibicarakan dan boleh membela diri bagi kedua-dua pertuduhan itu.
    
Tertuduh, yang hadir di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini bagi sebutan semula kes itu, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim D.Sunita Kaur Jessy. 
    
Fathi Munzir, yang kelihatan tenang, didakwa merosakkan patung-patung di Kuil Sree Muneeswaran Amman Kovil di hadapan Angsana Mall dan memiliki sebilah parang pada kira-kira 5 petang pada 24 April lepas.
    
Bagi pertuduhan merosakkan patung, dia didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
    
Bagi kesalahan memiliki sebilah parang, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
    
Pada 29 April lepas, Mahkamah Sesyen memerintahkan Fathi Munzir menjalani rawatan dan pemeriksaan di Hospital Bahagia selama sebulan.
    
Sebelum ini, mahkamah turut membenarkan Fathi Munzir diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan ia dibayar pada 25 Mei lepas apabila tertuduh didapati layak dibicarakan.
    
Mahkamah menetapkan 29 Jun ini untuk sebutan semula dan pengurusan kes.

Pada prosiding hari ini, tertuduh diwakili peguam Mohamad Hafiz Jalaludin dan Mior Fadhli Mior Shaifuddin. 
    
Turut hadir lima peguam diketuai pengerusi jawatankuasa kuil itu, A. Silvanathan, yang menjadi peguam pemerhati bagi jawatankuasa kuil dan masyarakat Hindu.

-Bernama    

Lihat Komen
ADS