Diserang sejak semalam, laman The Edge tak boleh diakses
Laman web utama The Edge Media Group kini tidak boleh diakses berikutan serangan terhadap pelayan-pelayannya (server).
Dalam satu kenyataan, The Edge berkata pelayannya diserang secara berterusan sejak awal pagi semalam.
"Pembaca theedgemarkets.com yang dihormati, laman web kami tidak boleh diakses kerana pelayan kami diserang berterusan sejak pagi tadi (Isnin).
"Kami sedang berusaha keras untuk memulihkan perkhidmatan. Harap bersabar dengan kami. Terima kasih kerana memahami," kata kenyataan itu yang disiarkan di laman Facebook.
Tiada sebab diberikan bagi serangan itu.
Diperkenalkan pada bulan Oktober 2014, www.theedgemarkets.com adalah laman web utama The Edge Media Group dan digabungkan sebelumnya dari laman web berita www.theedgemalaysia.com dan www.theedgesingapore.com oleh The Edge Communications Sdn Bhd dan The Edge Publishing Pte Ltd.
Pada September tahun lepas, Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan Kementerian Dalam Negeri untuk menggantung dua penerbitan oleh The Edge Communications - The Edge Financial Daily dan The Edge Financial Weekly.
Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan notis penggantungan tiga bulan yang dipercayai ada kaitan dengan laporan penerbitan mengenai syarikat pelaburan dana negara 1MDB.

