Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA dicabar jangan berkempen 2 PRK - DAP
Diterbitkan:  Jun 2, 2016 3:35 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

MCA harus memboikot daripada turun berkempen dalam pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar bagi menunjukkan ketegasan dan betapa konsistennya dalam menentang usul Rang Undang-undang (RUU) Persendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi’Awang.

Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok berkata, selain itu, MCA juga patut mendesak agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman dikenakan tindakan disiplin kerana membenarkan usul berkenaan.

"Jika MCA serius dan konsisten dalam pendiriannya menentang RUU tersebut, sekurang-kurangnya mereka boikot sepenuhnya PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

"Pada masa yang sama, tindakan Azalina memberi keutamaan kepada RUU oleh Abdul Hadi juga suatu penghinaan kepada kabinet kerana tidak mendapat kelulusan atau arahan jemaah menteri.

"Maka beliau seharusnya dikenakan tindakan disiplin atas kesalahan menghina hak kuasa kabinet," jelas ahli parlimen Seputeh itu dalam kenyataannya.

Baru-baru ini, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyuarakan tentangan terhadap RUU hudud, bersama-sama pemimpin dari MIC, Gerakan dan SUPP.

Kata Lio, walaupun dengan hanya empat parti BN, namun, usaha-usaha untuk mengembleng tenaga di kalangan parti-parti lain dalam BN bagi menentang hudud telah berjalan.

Mengulas lanjut, Teresa berkata, jangan hanya mengeluarkan kenyataan untuk menunjukkan sifat hero sedangkan pada masa yang sama takut untuk berdepan dengan Azalina.

"Jadi apa yang MCA patut buat ialah menjelmakan protes dengan mendesak pemecatan Azalina daripada berpaling untuk menyerang DAP pula.

"Kenapa menteri MCA ini takut untuk berdepan Azalina atau sesiapa jua yang memberikan lampu hijau untuk kebenaran membentangkan RUU tersebut," tanya Teresa lagi.

Lihat Komen
ADS