Hakim tarik diri dengar semakan kehakiman Anwar dan keluarga
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menarik diri daripada mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya bagi mencabar keputusan penjara yang tidak membenarkan keluarganya melakukan sentuhan fizikal ketika melawatnya di penjara.
Hakim Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Shahid Adli Kamarudin yang mewakili Anwar dan keluarganya dan Peguam Kanan Persekutuan Maisarah Johari mewakili responden.
Maisarah memberitahu pemberita bahawa hakim itu membuat keputusan tersebut atas alasan anak perempuannya belajar di sekolah yang sama dengan anak perempuan Anwar iaitu Nurul Nuha yang merupakan seorang daripada pemohon dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman itu.
Katanya Hakim itu menetapkan 15 Julai ini untuk pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi.
Anwar, 68, isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 63, dan empat anak perempuan mereka Nurul Izzah, 35, Nurul Nuha, 32, Nurul Ilham, 28, dan Nurul Iman, 25, memfailkan permohonan itu menamakan Pengarah Penjara Sungai Buloh, Komisioner Jeneral Penjara dan Menteri Dalam Negeri sebagai responden.
Turut memfailkan permohonan itu ialah anak-anak Nurul Izzah, Raja Nur Safiyah Raja Ahmad Shahrir Iskandar dan Raja Ahmad Harith, masing-masing berumur sembilan dan tujuh tahun serta anak-anak Nurul Nuha iaitu Sulaiman Mohamad Khairul dan Yahya, masing-masing berumur empat dan tiga tahun.
Dalam permohonan itu mereka memohon perintah bahawa keputusan pengarah Penjara Sungai Buloh bertarikh 14 Mac lepas yang tidak membenarkan sentuhan fizikal antara Anwar dan kesemua anggota keluarga dibatalkan.
Mereka mendakwa semasa lawatan ke penjara yang dibenarkan setiap tiga minggu sekali, Anwar yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun selepas disabitkan atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, telah dipisahkan daripada mereka melalui dinding kaca dan percakapan hanya dibuat melalui telefon.
Anwar melalui surat peguam caranya bertarikh 2 Mac lepas, telah memohon kepada ketiga-tiga responden supaya membenarkan sentuhan fizikal semasa lawatan keluarga ke penjara tetapi mendakwa pengarah Penjara Sungai Buloh menolak permohonan berkenaan melalui surat bertarikh 14 Mac.
Kesemua pemohon mendakwa penafian sentuhan fizikal itu menyebabkan penderitaan terhadap mereka, tidak munasabah, tidak sah dan melanggar Akta Penjara 1995 dan Peraturan-Peraturan Penjara 2000 serta melanggar Artikel 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.
- Bernama

