Rosmah hos majlis makan malam rai wanita pertama
Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor selaku penaung Permata malam ini menganjurkan majlis jamuan di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya untuk meraikan wanita pertama yang menghadiri Persidangan Antarabangsa Permata (PIC) 2016 yang berakhir hari ini.
Wanita Pertama yang menghadiri majlis itu ialah Ratu Swaziland, Ratu Khontaphi Nomsa Matsebula; Wanita Pertama Belize, Kim Simplis Barrow dan Wanita Pertama Guinea, Hadja Djene Kaba Conde.
Menteri Gender, Kanak-kanak dan Perlindungan Sosial Ghana, Nana Oye Lithur dan isteri kepada Speaker Dewan Perwakilan Nigeria, Gimbiya Yakubu Dogara juga menghadiri majlis itu.
Delegasi wanita pertama turut menghadiri majlis tersebut. Mereka dihidangkan dengan sajian tempatan sambil menikmati persembahan tarian dan alunan muzik tempatan dan berpeluang menyaksikan pertunjukan fesyen yang menampilkan pelbagai reka bentuk yang dihasilkan dengan songket.
Turut hadir ialah Presiden Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Puan Sri Rohani Abdullah.
Kira-kira 1,900 delegasi dari 29 negara terdiri daripada pakar-pakar pendidikan awal dan penjagaan kanak-kanak menghadiri PIC 2016 yang bertemakan "Children Beyond Tommorow".
Persidangan itu menjadi platform bagi Malaysia untuk berkongsi amalan dan inisiatif terbaik di bawah tujuh program Permata.
Ketujuh-tujuh program itu ialah Permata Negara, Permata Pintar, Permata Seni, Permata Insan, Permata Kurnia, Perkasa Remaja dan Hospital Pakar Kanak-kanak Permata.
PIC 2016 yang berlangsung di Kuala Lumpur dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa.
Inisiatif program Permata ialah hasil cetusan idea Rosmah dan bermula pada 2009.
Ia bertujuan untuk memastikan bahawa setiap kanak-kanak mendapat pendidikan terbaik supaya mereka dapat menyumbang kepada pembangunan negara.
-Bernama

