Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MUIP agih wang zakat kepada 73,000 penerima tahun lalu
Diterbitkan:  Jun 3, 2016 10:28 AM
Dikemaskini: 2:40 AM

Seramai 73,000 penerima mendapat manfaat daripada agihan kutipan zakat sepanjang tahun lepas, kata Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang Datuk Halidan Md Daud.

Beliau berkata jumlah berkenaan melibatkan pengagihan wang zakat berjumlah RM106 juta secara keseluruhan yang diagihkan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

"Jumlah semua kutipan zakat yang kita peroleh tahun lepas RM111.3 juta daripada 78,000 pembayar zakat. Jadi, agihan ini satu jumlah yang besar telah pun diberikan kepada golongan memerlukan, oleh itu tidak timbul pertikaian sesetengah pihak ke mana wang zakat digunakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi dialog selepas penyerahan watikah pelantikan Duta Zakat PKZ 2016 kepada Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor dan Prapelancaran BizZakat.my di Kuantan malam tadi.

Sementara itu, Halidan berkata sebanyak RM115 juta kutipan zakat harta daripada 85,000 pembayar disasarkan dapat dikutip PKZ tahun ini.

Beliau berkata kutipan zakat harta sehingga 31 Mei lepas mencatatkan RM30,072,146 daripada 65,596 pembayar berbanding hanya RM29,697,992 daripada 64,399 orang membayar zakat bagi tempoh sama pada 2015.

Mengenai pelantikan Duta Zakat PKZ 2016, Ahmad Fauwaz merupakan graduan dari Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang Syariah Islam dan dianugerahkan Sijil Kemahiran Fatwa daripada Badan Fatwa di Mesir serta anggota Persatuan Ulama Sedunia.

Beliau aktif menyampaikan ceramah di televisyen dan radio serta merupakan Kolumnis Majalah Solusi, al-Ustaz, Gen-Q dan Demi Cinta. Beliau kini bertugas sebagai Konsultan Syariah di Telaga Biru Sdn Bhd.

BizZakat.my berfungsi sebagai Direktori Usahawan Muslim Istiqamah Berzakat iaitu terdapat lebih 2,000 usahawan pembayar zakat perniagaan di negeri ini telah disenaraikan dalam direktori itu.

Direktori berkenaan ditempatkan dalam laman web PKZ Pahang iaitu www.zakatpahang.my atau boleh dicapai menerusi aplikasi telefon mudah alih.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS