Bekas ADUN Sungai Rapat Datuk Hamidah Osman sekadar berdiam diri ketika ditanya sama ada beliau akan bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya pecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar 18 Jun ini.

Beliau sekadar berkata sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam senario politik negara ketika ini.

Pada masa sama Hamidah yang dipecat daripada Umno itu berkata BN dijangka berdepan kesukaran memenangi PRK Kuala Kangsar kerana gagal memilih calon yang sesuai.

Katanya perkara itu jelas kerana pergerakan dan penglibatan calon BN, Mastura Mohd Yazid terbatas sepanjang kempen berlangsung kerana masih dalam tempoh idah.

“Kalau kita keluar (berkempen) pun orang susah nak bagi undi inikan pula keadaan sebaliknya.

“Bagi saya, walaupun kita berada dalam dunia teknologi yang serba canggih namun setiap calon wajib turun padang bertemu, bersua muka dengan rakyat. Jelaskan visi dan misi yang ingin dibawa,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Bekas Ketua Penerangan Wanita Umno itu turut berkata, pemilihan Mastura selaku calon juga menimbulkan tanda tanya bukan hanya kepada dirinya bahkan banyak pihak termasuk ahli BN sendiri.

“Saya sendiri pun memang tak faham apa kriteria menyebabkan beliau dipilih BN untuk bertanding sedangkan kita tahu kedudukannya,” kata Hamidah.

Setakat ini PRK Parlimen Kuala Kangsar akan memperlihatkan sekurang-kurangnya tiga penjuru membabitkan Mastura untuk mempertahankan kerusi pernah dimenangi suaminya allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS) dan Dr Ahmad Termizi Ramli (Parti Amanah Negara).

Seorang ahli Pemuda Umno Syed Rosli Syed Harman Jamalullail sudah menyatakan niatnya untuk bertanding sebagai calon bebas.

PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan pada 18 Jun, manakala penamaan calon 5 Jun.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lepas, Wan Mohammad Khair-il mengalahkan calon PAS Khalil Idham Lim Abdullah dan calon Bebas Datuk Kamilia Ibrahim dengan majoriti 1,082 undi.

Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pemilih berdaftar melibatkan pengundi biasa (32,632), pengundi awal (312) dan pemilih tidak hadir luar negara (lima).