Dua pengarah SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil dan Suboh Md Yasin, yang hilang perlulah digantikan, kata Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua.

Beliau yang juga ahli parlimen Petaling Jaya Utara berkata, Perbendaharaan telah menggantikan lembaga pengarah 1MDB, oleh itu, sepatutnya tindakan sama dibuat ke atas SRC International, anak syarikat milik Kementerian Kewangan.

SRC International bergelumang dalam kontroversi membabitkan dakwaan pindahan RM42 juta ke dalam akaun bank peribadi milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

“SRC International tidak lagi beroperasi hari ini, dua pengarah hilang dan tiada sebab mereka berdua kekal sebagai pengarah SRC International,” tambah Pua.

“Perdana Menteri mungkin tidak tahu wang telah dipindahkan ke akaunnya, namun SRC International perlu menjawab kenapa ia memasukkan duit itu ke dalam akaun Najib,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya, hari ini.

Pua mencadangkan penggantian tempat Nik Faisal dan Suboh dengan lembaga pengarah baru yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

“Lembaga pengarah baru sepatutnya diketuai oleh Irwan kerana beliau adalah kakitangan awam paling kanan dalam Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab melihat skandal ini,” katanya.

[Baca berita asal]